TERKINI :

Saturday, August 26, 2017

Pengerusi KTMB riang sambut hari jadi, pengguna komuter letih menanti

Ketika pengguna Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter di Lembah Kelang letih menanti ketibaan tren, Pengerusi KTM Berhad, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dilihat riang menyambut hari jadi di Langkawi.

Nawawi yang juga Ketua Umno Bahagian di pulau pelancongan itu di Facebook miliknya semalam mengucapkan ulang tahun kelahiran kepada Ahli Jawatankuasa Wanita Bahagian itu, Azlina Ahmad.

Tidak cukup dengan itu, Nawawi turut berkongsikan rakaman video menyanyikan lagu 'Happy Birthday' dan 'Allah Selamatkan Kamu' bersama kumpulan staf Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) berkenaan.

"Happy birthday puan azlina pegawai jasa parlimen Langkawi... kejutan di dewan badminton KDN," ucapnya dipetik daripada status yang dimuatnaik bersama video berdurasi satu minit itu.

Bahkan, Azlina pada hari ini turut berkongsikan beberapa gambar termasuk foto bersama Nawawi sempena sambutan hari jadinya itu di sebuah dewan badminton.

Sejak kelmarin, pengguna komuter berang dengan servis tren itu meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mendakwa pengangkutan awam di negara ini antara terbaik di dunia.

Banyak rungutan pelanggan komuter diajukan di Facebook KTM Berhad dengan paling ketara mengecam kelewatan tren dan kegagalan menepati waktu ketibaan.

Walaupun begitu, masalah tersebut berlarutan dengan kemuncaknya petang kelmarin apabila tiada tren menghala ke Rawang untuk tempoh sekurang-kurangnya empat jam.

Akibatnya, ramai penumpang termasuk wanita dan warga emas terkandas tanpa pengumuman berkenaan perkhidmatan yang separuh hari tergendala itu.

Sebaliknya, ketika tren tidak muncul untuk jangka masa lama, paparan tempoh ketibaan pada skrin di ruangan menunggu di platform dilihat membohongi pengguna apabila memaklumkan tren ke destinasi seterusnya adalah dalam tempoh 30 minit sehingga sejam.

Selain sambutan hari jadi stafnya, Nawawi, 56, dilihat aktif melayari Facebook dengan pelbagai 'posting' serta perkongsian video termasuk kanak-kanak berkaki ayam sedang menari lagu dangdut sebelum dibaling selipar.

Hanya dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari ini, Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) Negeri Kedah di Unit Media Transformasi Kedah itu turut berkongsikan video dari Tanah Arab yang menunjukkan motosikal berpusing bagi menggerakkan kincir air.

Selain itu, Nawawi juga berkongsikan video pemilik bengkel di Alor Setar yang melakukan pengubahsuaian memasang turbo Kancil pada sebuah motosikal serta video parodi gusti yang antaranya memaparkan karakter Lim Kit Siang memukul belakang 'Tun Mahathir' dengan bangku besi.

Walaupun dilantik sebagai Pengerusi KTMB sejak 24 Februari 2014 dan pada tahun berikutnya beliau mendakwa ketepatan masa operasi komuter telah mencapai 98 peratus, mutu perkhidmatan pengangkutan awam itu terus mengecewakan rakyat di Lembah Kelang.

Tinjauan Malaysia Dateline di laman web KTM Berhad juga mendapati lebih 10 aduan pengguna berkaitan masalah kelewatan tren dan sikap tidak mesra pelanggan petugas di kaunter diajukan sejak bulan lalu. Namun, tiada maklum balas di pihak KTM di paparan sama.

Salah seorang pengadu, Nurul pada 31 Mei lalu menganggap penantiannya selama tiga jam untuk ke Rawang sebagai amat tidak masuk akal.

"Kalau pergi Perak dari KL pun dah sampai. Memang tak jaga customer. Tahu naikkan harga saja tapi servis teruk amat.

"Kita bayar bukan tak bayar. Jadual kata 60 minit kalau bukan peak hour. Ini dah 200 minit aku tunggu. KTM TERUK, SILA IMPROVE!" tegasnya yang terpaksa menempuh perjalanan meletihkan walaupun jarak KL Sentral ke Rawang hanya 33 kilometer (km).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...