TERKINI :

Saturday, August 19, 2017

Kit Siang: HARAPAN boleh menang di Kedah

 http://www.beritadaily.com/wp-content/uploads/2017/01/kedah-GE14.jpg
Pakatan Harapan boleh membentuk kerajaan negeri Kedah yang berikutnya jika DAP dibenarkan untuk bertanding di dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata pemimpin kanan Lim Kit Siang.

Kerusi yang disasarkan DAP itu dimenangi MCA dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.

Dalam sebuah kenyataan media hari ini, Lim meramalkan tsunami rakyat Malaysia jika 10 peratus orang Melayu dan 5 peratus pengundi bukan Melayu berubah menyokong HARAPAN.

Kata beliau formula ini bukan setakat membantu HARAPAN menang majoriti di parlimen tetapi juga di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Penang dan Selangor.

"Dalam keadaan ini bagaimanapun hasil pengundian di Kedah akan menemui jalan buntu dengan masing-masing HARAPAN dan BN bakal mendapat 18 kerusi, dengan PAS gagal memenangi sebarang kerusi di Kedah walaupun calon-calon PAS bertanggungjawab memberi kemenangan kepada BN dalam 14 daripada 18 kerusi tersebut kerana perpecahan undi.

"DAP dapat membantu HARAPAN untuk memecahkan kebuntuan 18 kerusi BN dan 18 kerusi pakatan pembangkang itu. Jadi HARAPAN dapat menang kerajaan negeri Kedah jika DAP bertanding di Kulim dan Gurun. Ia dapat menggerakkan sokongan untuk HARAPAN di kawasan selatan dan tengah negeri Kedah," kata beliau.

Dalam pilihan raya umum 2013, DAP bertanding dan memenangi kerusi DUN Derga dan Kota Darulaman.

Kerusi Kulim dan Gurun pula ditandingi oleh calon-calon PKR yang tewas kepada MCA.

Di Gurun, MCA menewaskan PKR dengan undi majoriti sebanyak 1,296, manakala di Kulim, PKR tewas dengan hanya 643 undi majoriti di dalam pertandingan tiga penjuru yang menampilkan calon Berjasa.

Kedah pernah jatuh ke tangan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat pada 2008 dengan PAS memenangi 16 kerusi DUN, berbanding DAP satu kerusi dan empat kerusi dari PKR.

Namun pada 2013, PAS hanya menang 9 kerusi, sementara PKR mengekalkan empat kerusi DUN mereka dan DAP pula bertambah kerusinya menjadi dua.

Pilihan raya umum ini bakal menyaksikan persaingan sengit dengan PAS bersendiri bertanding menentang HARAPAN dan BN.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...