TERKINI :

Sunday, August 27, 2017

Kecamukan Memali, Bank Negara

 Kecamukan Memali, Bank Negara
DUA isu diperkatakan dalam ruangan ini. Pertama, Memali. Kedua, Bank Negara. Peristiwa berdarah Memali berlaku 32 tahun dulu, sedangkan penyangakan wang Bank Negara, 20 tahun dulu.

Memali ialah pokok renek berduri yang memberikan bahan berkhasiat untuk ubat kanser. Penyangakan bererti melakukan perbuatan kotor.

Apakah pokok memali yang berbahaya kerana berduri itu sekali gus jadi penawar adalah satu persoalan menarik. Satu lagi ciri-ciri memali ialah ia berbunga dua tiga kuntum dalam satu rumpun, tetapi bunga cantik yang berwarna-warni itu tidak mengeluarkan bau harum.

Ini ditambah pula dengan minat semut gatal (semut merah atau semut api) yang suka membuat sarang dalam pasir di mana rumpun memali itu berada. Seseorang menghadapi risiko tercocok duri di rantingnya, di samping menanggung bisa dari gigitan semut itu. Adakah begitu perlambangan peristiwa Memali itu?

Tun Musa Hitam yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika itu baru-baru ini berkata, bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu ditubuhkan bergopoh gapah kerana ia mungkin bersifat kepentingan politik jangka pendek dan sempit. Beliau tentu beri perhatian berat tentang tragedi itu memandangkan sejak berlaku dulu beliau dirundungi tuduhan beri lampu hijau bertindak sehingga berlakunya pembunuhan begitu ramai, termasuk Ibrahim Libya.

Tan Sri Abdul Rahium Noor, mantan Ketua Polis Negara, menyuarakan sikap awas-awasnya apabila beliau menegaskan Datuk Seri Haji Abdul Hadi, Presiden Pas, patut disiasat sebab didapati beliau mendorongkan Ibrahim Libya dan pengikutnya bertindak liar melalui ucapan ‘pengkafiran’. Kisah Memali ini amat intriging. Dalam bertindak untuk mencemarkan Tun Dr Mahathir Mohamed, ia boleh merosakkan nama Tun Musa dan Tun Haniff (mantan IGP).

Sudah lama perkhabaran berputar bahawa Tun Mahathir berada di Malaysia dan bukan di negara China ketika letusan itu berlaku. Ini hanya soal siapa yang cakap benar dan siapa berbohong. Persoalannya, apa dan kenapa ia berlaku. Orang yang berprinsip dan teguh tidak mudah bertindak atas arahan orang lain. Dia pun sanggup meletak jawatan untuk itu. Namun apa yang berlaku sudah menjadi sejarah terbuka.

Manusia menjadi lebih bijak apabila ia sudah bertindak – apalagi jika tindakan itu terbukti sesuatu yang buruk. Logik rantaian arahan (chain of command) ialah: Menteri Dalam Negeri arahkan KPN dan KPN mengarahkan stafnya bertindak. Ketika itu, ramai berpendapat jika Ibrahim Libya dan pengikutnya dibiarkan terkepung dalam kawasannya, dari minggu ke bulan dan seterusnya, nescaya mereka kehabisan makan-minum; lemah dan mungkin menyerah diri ataupun mereka senang diambil tindakan tanpa pertumpahan darah.

Akibat penyangakan di BNM 20 tahun dulu, Gabenor Tan Sri Jaafar Hussein dan Noor Mohamed Yakcop (belum Tan Sri) telah meletak jawatan kerana mengaku bertanggungjawab terhadap episod hitam itu, Jaafar meninggal tidak berapa lama selepas itu. Noor dijadikan penasihat; selepas itu Pengarah Eksekutif oleh PM Tun Dr Mahathir.

Tun Abdullah Badawi apabila menjadi PM melantik Noor sebagai Menteri Kewangan II (MK2); diberikan tempat bertanding dalam pilihan raya 2008; disambungkan jawatannya sebagai MK2. Di bawah PM DS Najib, Noor kekal sebagai MK2 hingga pilihan raya 2013. Selepas pilihan raya itu, beliau dilantik oleh PM Najib sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, badan pelaburan Kerajaan Pusat paling besar.

Dengan menoleh ke belakang, tidak sukar menyimpulkan bahawa Najib sudah lama menampung keraguan terhadap penyangakan RM30 bilion itu. Beliau sedia maklum tidak ada sebarang penyelidikan dan penyiasatan yang pernah diambil. Soalnya, kenapa tidak bertindak mesra - jika tindakan kasar tidak mahu diambil – dengan hanya membiarkan Noor pergi tanpa heboh-heboh, selaras dengan prinsip integriti dan urus tadbir. Oleh itu mengekalkan beliau hingga sekarang boleh menimbulkan soal ‘malintent’ atau ‘niat buruk’. Bukan kecil pula masalah ini untuk Najib beri penjelasan kepada RCI yang sedang melaksanakan tugasnya.

Pada hakikatnya, sejak dulu lagi kesumbangan berlaku. Nick Leeson yang meruntuhkan Bank Barings kepunyaan Inggeris di Singapura pada 1995 dengan membuat silap seperti Noor di BNM telah dihukum dan dipenjarakan. Jerome Kerviel di bank Societe Generale di Paris juga dihukum teruk. Noor bukan saja tidak menerima layanan buruk begitu, beliau malah diberi pangkat dan gelaran tinggi. Ini sendiri menjadi cabaran kepada Najib dan RCI.

* Tan Sri Adam Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...