TERKINI :

Sunday, August 13, 2017

Jalan Changlun-Kuala Perlis akan diaudit


KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya akan menghantar pasukan daripada Jabatan Kerja Raya untuk membuat audit tentang aduan penyelenggaraan proses naik taraf jalan persekutuan daripada Changlun, Kedah ke Kuala Perlis.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, audit ini merangkumi dengan kawasan yang kerap berlaku kemalangan.

Menurutnya, selain itu, tanda-tanda atau papan tanda yang mungkin tidak berada di kedudukan yang sepatutnya serta permukaan jalan dan bahu jalan yang perlukan penambahbaikan juga akan dipantau.

"Kesemua ini mungkin memerlukan penambahbaikan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Permohonan yang dibuat untuk melihat bagaimana kita dapat memperbaiki penghadang jalan menggunakan 'wire rope' kepada penghadang jalan konkrit juga telah diterima," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ir Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) yang meminta kementerian menyatakan rancangan kerajaan menaik taraf Jalan Persekutuan daripada Changlun ke Kuala Perlis di mana struktur jalan raya tidak diselenggara dengan baik.

Tambah Fadillah, kos bagi kerja penyelenggaraan rutin seperti penampalan lubang jalan, penyenggaraan bahu jalan, memotong rumput, cuci sistem saluran dan perparitan mencecah RM41,250 sebulan dan RM495,000 setahun.

Katanya, bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala pula untuk tempoh dari 2014 hingga 2016, kementerian telah membelanjakan bagi penyenggaraan berkala berkaitan pavemen sebanyak RM2.5 juta untuk laluan tersebut.

Jelasnya, Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan RM1.8 juta untuk penyelenggaraan berkala tahun ini, manakala RM200,000 lagi telah diluluskan untuk perbaiki dan menggantikan sistem penghadang jalan dengan menggunakan kaedah 'wire rope' di tempat tersebut.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...