TERKINI :

Saturday, August 5, 2017

'Perbincangan gelap' di luar PH biadab, kata Pemuda AMANAH

5 Ogos 2017 | ARIF ATAN

Pemuda AMANAH Nasional kecewa terhadap sikap pemimpin Pakatan Harapan di negeri tertentu yang masih meneruskan rundingan dengan pihak di luar gabungan politik tersebut.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, wujud kepimpinan politik negeri yang masih degil dan berkeras tidak mahu menubuhkan Pakatan Harapan di peringkat negeri.

"Lebih biadab, perbincangan-perbincangan gelap antara dua tiga kerat pemimpin politik negeri ini dengan parti luar daripada Harapan sedang berlangsung rancak," tegasnya.

Hal ini sekali gus, kata Sany, mengetepikan autoriti Majlis Presiden Pakatan Harapan.

"Dengan disiplin organisasi 'ke laut', apa bentuk kepercayaan lagi yang mahu diberikan kepada pemimpin politik sebegini?

"Tidak malukah untuk membelakangi organisasi hanya disebabkan tidak memperoleh jawatan yang dimahukan dalam Harapan?" bidasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya amalan parti menguasai kerajaan harus dipraktikkan Pakatan Harapan bermula pada masa ini sehingga ke Putrajaya.

"Amalan ini penting bagi memastikan seluruh kandungan tawaran dan manifesto terlaksana.

"Lebih penting, kita tidak mahu kepimpinan negeri dan negara kemudiannya 'besar kepala' dan cenderung membuat keputusan berpaksikan kepentingan diri, bukan kepentingan rakyat terbanyak," tegas Sany lagi.

Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional kali kedua ini diadakan di Hotel Garden, Batu Pahat dengan tema 'Menggalas Harapan Perubahan'.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...