TERKINI :

Saturday, August 19, 2017

15 daripada 100 graduan negara menganggur

 Pengangguran di kalangan siswazah membimbangkan.
Sejumlah 23% belia yang menganggur di negara ini mempunyai pendidikan tinggi malah yang lebih membimbangkan 15.3% daripada mereka yang berpendidikan tinggi (tertiary education) tidak bekerja atau menganggur.

Ini bermakna 15 graduan dari 100 graduan yang dilahirkan negara adalah penganggur, kata pengarah strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dr Dzulkefly, walaupun kadar pengangguran di negara ini dianggap rendah iaitu 3.1% (atau full employment), pengangguran di kalangan belia telah mencecah 10.57% (sumber Bank Negara Malaysia).

"Ini bermakna belia mengalami tiga kali ganda (pengangguran) melebihi dewasa yang lain. Amat mencemaskan serta membawa kesan sosioekonomi dan gejala yang berat. Tidak perlu saya huraikan," katanya.

Beliau menyorot kembali diskusi 'Bicara Srikandi' oleh Media Oren atas tajuk 'Graduan & Kerjaya' yang disertainya baru-baru ini yang turut menampilkan graduan muda lepasan Universiti Melbourne Australia, Madihah Akmal.

"Saya tekun mengikuti kisah bagaimana Madihah, pastinya bekas pelajar cemerlang yang mendapat biasiswa melanjutkan pelajar telah sangat kecewa setelah menemui kegagalan mendapatkan kerjaya setelah pulang dengan ijazah Ekonomi dari Australia.

"Tidak perlu saya sebutkan kes graduan kejuruteraan dan sains yang hari ini mencuci tandas dan membersih rumah atau berhijrah mencari rezeki ke Australia dan UK untuk buat kerja 'fruit picking' (memetik buah). Tak kurang juga yang hanya jadi juruwang di 7 Eleven atau 99 SpeedMart," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan agar merancak industri hiliran di negara ini bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya para graduan.

"Ketika rancak kegiatan hiliran ini sekaligus 'permintaan' untuk graduan kita akan dijana, sama ada ijazah sarjana dan PhDs. Begitulah pada seluruh bidang lain termasuk aeroangkasa, teknologi solar, elektrik dan elektronik, bioteknologi, pembuatan dan sebagainya," ujar beliau.

Negara juga, katanya perlu keluar daripada menjadi hab pemasangan kepada memasuki kegiatan rekabentuk dan pembentukan.

"Kita perlu mempergiatkan industri hiliran yang punya nilai tambah yang tinggi. Kegiatan oleo-chemicals hari ini hanya menyumbangkan 17% dari pendapatan industri ini, sementara 75% adalah dari menjual CPO atau minyak sawit mentah, yang pastinya terdedah kepada kuasa pasaran yang tidak menentu," katanya.

Beliau menambah, apabila kegiatan hiliran berbentuk kosmetik, produk kesihatan dan pemakanan, vitamin, kimia-agro, bio-polypols, pelincir-bio, surfactants dan pelbagai lagi diwujudkan, negara akan mengecapi produltiviti yang tinggi, sekaligus menjana permintaan dan pekerjaan buat graduan biotek dan kejuruteraan kimia.

"Ringkas dan tegasnya negara memerlukan kepimpina baru di Putrajaya yang kompeten, punya visi dan amanah buat memacu pertumbuhan yang lestari serta menjana pekerjaan yang berpendatan tinggi buat rakyatnya.

"Ia tidak selesai dengan hanya dislogankan atau diwiridkan secara lisan.

"Hanya sebuah kerajaan komited untuk 'Bina Semula Negara' dan memerangi rasuah, salah guna kuasa dan kleptoktasi akan dapat membangunkan kembali negara yang tenat (failing state) ini," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...