TERKINI :

Sunday, July 9, 2017

Walaupun Mahfuz tak masuk Amanah, dia tetap amanah

Mahfuz Omar Kesayangan Semua

Mahfuz Omar adalah boss aku dulu. Aku dijemput jadi AJK Pemuda PAS Pusat semasa dia jadi KP Pusat. Semasa dia bertanding dengan Dr. Hatta Ramli untuk jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat, aku dan Dewan Pemuda Perak sokong Dr. Hatta.

Masa itu, Mahfuz klik Bang Mat Sabu. Kami Pemuda Pas Perak klik Ust Abu Bakar Chik dan geng alumni UM. Masa itu UM ada mazhabnya sendiri. Misbah Munir Munir, masa itu Ketua Pemuda PAS Perak dan aku Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak. Semasa di UM, aku Pengerusi Lujnah Penerangan PMIUM dan Misbah adalah Presiden PMIUM.

Mahfuz tau kami tak undi dia. Masa itu regu Mahfuz ialah Ust Idris yang merupakan ayam tambatan Bang Mat Sabu. Mana-mana pergi selalu mereka bersama. Mahfuz lantik Ust Idris jadi Setiausaha dan Misbah sebagai Ketua Penerangan. Misbah lantik aku jadi Setiausaha Lujnah Penerangan Pemuda Pusat. Setiap bulan dua tiga kali aku ikut Misbah ke Taman Melewar. Mahfuz, Salahudin Ayub dan kami biasanya tidur dalam bilik pejabat. Mahfuz balik ceramah jam 3 pagi. Kadangkala tak da tempat nak tidur, Mahfuz tidur bawah meja.

Bila sarapan kami pi gerai dekat markaz. Biasanya boss bayar. Ada waktunya Misbah bayar. Aku time tu taklah berduit sangat, kerja di sekolah agama rakyat berapa sangatlah saguhati pada masa itu. Misbah jadi guru sekolah kerajaan sebelum berhenti kerana bertanding DUN Rungkup pada 1999. Lepas kalah dalam pilihanraya, macam-macam niaga yang dia buat. Asal dapat cari rezeki buat anak-anak isteri.

Itulah bijaknya Mahfuz mengurus perbezaan politik dalam Pemuda. Bila dia jadi pemimpin, semua orang adalah orang dia. Dia suka mendengar pandangan orang lain. Mahfuz bijak mengadunkan kepelbagaian pandangan menjadi suatu pandangan yang lebih diterima orang.

Sewaktu isu Batu Putih, Mahfuz jemput Prof Dr Anuar beri taklimat. Aku ada masa itu tapi aku dengar dan diam. Sebaliknya Mahfuz bertanya macam-macam sehingga dia puas. Apabila Mahfuz berceramah tentang isu itu, penerangannya jauh lebih kuat dan jelas.

Mahfuz Omar bermula dari bawah. Dia bukan ustaz yang tersedia mendapat penghormatan dalam masyarakat. Dia berhenti kerja dengan MAS tapi aku tak pasti. Rasanya bukanlah sebagai pramugara walaupun Mahfuz ada gayanya. Kerjanya ceramah lawan UMNO. Siang malam di seluruh negara.

Sewaktu kami bermuqayyam di Cherating, ada acara taaruf antara kami AJK Pemuda PAS Pusat. Ramailah berkongsi cerita suka duka berjuang dalam PAS. Aku masih ingat pengalaman yang diceritakan oleh Mahfuz pada masa itu. Dia menerima jemputan berceramah di Terengganu. Masa itu dia duduk di Kedah. Dia naik bas sehinggalah sampai di pekan tersebut tetapi dia tak tau tempat ceramah yang sebenarnya. Mahfuz kata masa itu dalam poketnya ada 20 sen saja. Perut lapar pula. Hari hampir senja. Diapun pergi pondok telefon dan masukkan duit 10 sen untuk hubungi pihak penganjur. Malangnya mesin telefon publik itu telan duit 10 sen itu tanpa dapat menghubungi nombor yang didail. Duit tinggal 10 sen saja.

Diapun risau. Teragak-agak hendak menggunakan telefon publik itu. Sedang fikirannya mencari akal, tiba-tiba Mahfuz terdengar suara orang memanggil namanya. Rupa-rupanya orang itu penyokong PAS tapi bukan penganjur. Orang itu kenal Mahfuz. Mahfuzpun minta orang itu hantar ke tempat ceramah. Lega.

Di tempat ceramah, dia dijamu makan. Terisilah perut yang derita kelaparan sepanjang perjalanan. Tiba giliran berceramah, bergegar pentas dibuatnya. Bersemangat. Takbir tak putus-putus. Ada  kutipan tabung jihad. Habis ceramah, penganjur menghulurkan sampul surat pada Mahfuz. Mahfuz masukkan ke dalam poketnya.

Tiba-tiba hatinya tak berapa sedap. Dibuka sampul surat itu ada RM30 atau RM40. Aku tak ingat tapi sikitlah dan tak patut Sekali lagi  Mahfuz serba salah. Duit sebanyak itu tidak cukup untuk beli tiket dan makan minum sepanjang perjalanannya. Mahfuz patah balik dan berjumpa dengan pihak penganjur sambil bercakap elok-elok, 'hampa nak suruh aku duduk sinikah? Aku nak balik macamana ni, duit ni......'  Dipendekkan cerita, pihak penganjur memberikan sejumlah wang yang munasabah.

Orang bawahan ingat pimpinan PAS yang berjuang, berkorban tidak memerlukan wang untuk bergerak. Mereka tidak tahu sebahagian daripada bergerak ke seluruh negara dengan seribu kesukaran. Stesyen Puduraya menyimpan sejarahnya. Aku ingat ada waktunya aku hantar Mahfuz atau Salahudin di Greenwood untuk tunggu bas ekspress ke Pantai Timur. Bawa beg sandang berisi pakaian dan sedikit roti buat pengalas perut dalam perjalanan.

Walaupun Mahfuz tak masuk Amanah, dia tetap amanah dalam jalan perjuangan Islam. Bravo!

Muhaimin Sulam

* Siaran ulangan untuk edisi share.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...