TERKINI :

Friday, July 14, 2017

RAFIZI - Sepanjang seminggu sebelum lahirnya HARAPAN

NOTA SEMINGGU - NUKILAN SDR RAFIZI RAMLI

Pengumuman semalam adalah penamat kepada seminggu lebih yang memenatkan berulang alik untuk memuktamadkan satu muafakat.

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk mencapai persetujuan semalam dengan latar belakang sejarah yang panjang. Saya tidak pernah berniat untuk terjebak di dalam politik kalau tidak kerana reformasi yang tercetus tahun 1998 itu.

Ramai anak muda yang tidak akan faham. Atau mereka yang tidak terheret ke kancah itu, juga tidak akan faham. Cukup untuk saya katakan 19 tahun adalah masa yang lama.

Namun akhirnya kita bertanggungjawab untuk membantu meringankan beban rakyat yang lain, bila kita bersetuju memikul satu amanah kepimpinan. Caranya hanyalah dengan menang pilihanraya. Untuk menang pilihanraya, kita perlu bergabung dengan seberapa banyak kumpulan agar kumpulan-kumpulan penyokong baru ini dapat menambahkan lagi undi; lalu mencukupkan undi yang selama ini diberikan oleh kumpulan penyokong sedia ada yang sentiasa mengundi pembangkang.

Cuma ada pandangan yang berbeza-beza mengenai strategi terbaik menggabungkan undi itu. Kita juga bertanggungjawab memastikan gabungan politik itu berkekalan dan benar-benar membawa hasrat perubahan yang disuarakan rakyat sehingga ke selepas pilihanraya.

Saudari Izzah, Dato’ Saifuddin Nasution dan saya menjadi pengantara. Memang itu tugas biasa kami di pihak KEADILAN selama ini pun. Akhirnya, walaupun sukar, kesediaan Dato’ Seri Anwar dan Tun Mahathir untuk saling memberi ruang memudahkan tugas-tugas lain.

Penerimaan bahawa Dato’ Seri Anwar adalah mangsa fitnah politik dan perlu dibebaskan segera adalah penting kerana ia lambang muafakat ini penuh keikhlasan, bukannya strategi pilihanraya semata-mata. Beliau perlu diberi pengampunan diraja secepat mungkin supaya beliau boleh menyertai politik dan kerajaan secepat mungkin; untuk bersama-sama semua pimpinan lain membina semula negara yang telah banyak kerosakannya.

Semasa saya menyebut perkara ini (bahawa Dato’ Seri Anwar boleh menjadi Perdana Menteri melalui pengampunan diraja) sebelum ini, banyak yang mencemuh saya. Saya bukanlah taksub dengan Anwar Ibrahim, tetapi saya percaya seorang yang tidak bersalah tidak boleh dibiarkan di dalam penjara lebih lama, hatta lebih sejam pun. Saya juga ada banyak kes yang dikenakan kerana tugas saya sebagai wakil rakyat. Kalau saya tidak bersalah tetapi dipenjarakan; saya juga mahu dibebaskan secepat mungkin mengikut apa kaedah pun.

Penerimaan bahawa Tun Mahathir (sebagai pengerusi) adalah seorang pemimpin terkanan Pakatan Harapan selain Dato’ Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah juga penting. Ia menjadi lambang bahawa pendokong Pakatan Harapan tidak mempersoalkan keikhlasan Tun Mahathir mahu menyelamatkan negara. Ia menutup mulut segelintir yang cuba menggambarkan kesungguhan Tun Mahathir melawan Dato’ Seri Najib sebagai hanyalah helah politik.

Musuh politik kami tidak menjangka perkara ini boleh berlaku. Pengumuman semalam sudah tentu mengejutkan.

Namun mereka tidak faham bahawa kami disatukan oleh satu matlamat yang cukup berbeza berbanding dengan matlamat mereka memasuki politik.

Beberapa hari lalu dalam satu sessi, saya ditanya mengenai kelemahan Pakatan Harapan yang dilihat tidak bersatu padu berbanding Barisan Nasional/Najib yang nampaknya sehati sejiwa.

Jawapan saya begini:

Penilaian pak cik itu bahawa Barisan Nasional nampak kukuh adalah benar. Tetapi kukuh itu ada pelbagai bentuk.

Batu-bata yang tidak diikat dengan baik; atau simennya lemah, walau nampak kukuh tetapi boleh dirobohkan jika kena cara. Kata orang putih: brittle.

Ada juga logam yang boleh dibentuk, lalu nampak lebih lembut. Boleh diketuk menjadi pedang. Boleh ditarik menjadi dawai. Nampak lembut sehingga boleh dibentuk-bentuk, tetapi tidak putus atau pecah. Kata orang putih: malleable.

Barisan Nasional nampak kukuh dan bersatu, tetapi dengan pukulan yang betul akan pecah berkecai.

Pakatan Harapan pula, oleh kerana latar belakang kita yang berbeza dan melalui proses yang lama untuk saling bertolak ansur, walaupun nampak bising dan tidak bersatu, sebenarnya lebih kuat dan mudah melentur mengikut keadaan.

Kerana kita disatukan oleh matlamat untuk membela rakyat dari cara pemerintahan yang sudah rosak. Walaupun kita perlu memperjuangkan kedudukan parti masing-masing; apabila kita duduk di meja Pakatan Harapan, kita sedar perlu ada tolak ansur supaya Pakatan Harapan terus boleh bergerak ke depan.

Kita akan terus berbeza pendapat. Bukan atas permusuhan, tetapi mengenai kaedah terbaik memenangkan rakyat. Lain parti, lain pemimpin, lain pula perkara yang dinilai; lalu lainlah kaedah terbaik yang difikirkan.

Tetapi dalam berbeza pendapat itu, kita saling mengetahui bahawa perbezaan itu sebenarnya kekuatan kita kerana masing-masing ada kaedah tersendiri untuk membina sokongan kepada Pakatan Harapan.

19 tahun adalah masa yang lama. Saya menyaksikannya dari hari-hari pertama reformasi, kemudian terlibat sebagai aktivis muda, kemudian mula memegang jawatan parti sehingga ke era Pakatan Rakyat. Saya dan rakan-rakan lain dari KEADILAN, DAP dan AMANAH bekerja kuat untuk menubuhkan Pakatan Harapan walau ramai yang menganggapnya strategi bodoh pada ketika itu.

Sehinggalah ke malam semalam apabila Pakatan Harapan yang menggarab kekuatan yang dibawa anggota baru dari PPBM diumumkan.

Politik yang panjang membunuh deria rasa teruja. Saya tidaklah rasa teruja, tidak pula rasa sedih, tidak juga rasa gembira. Mungkin sedikit penat sahaja.

Malam semalam adalah satu lagi hari dalam sejarah panjang turun naik gerakan rakyat. Kita hanyalah watak-watak kecil yang diuji.

Saya diingatkan oleh satu rangkap puisi yang dihantar arwah sahabat baik saya dari Oxfordshire ketika saya berumur 15 tahun:

Ku layangkan panahnya ke udara
Hilangnya jatuh entah ke mana
Nun jauh di kebun getah
Bila ku ambil tak jua patah.

Long ago I shot my bow
Where it fell I didn’t know
Much later in a huge great oak
I picked it up still unbroke.

Kata arwah kepada saya: jadilah anak panah yang terbang jauh dan membunuh musuh. Anak panah yang tahan lama dan tidak patah walaupun terbang jauh.

Saya harap anak panah Pakatan Harapan (logonya boleh ditafsir sebagai gunung yang puncaknya tinggi, atau anak panah, atau lencana Startrek ikut citarasa masing-masing) kali ini terbang jauh dan tidak patah di akhir perjalanannya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...