TERKINI :

Friday, July 7, 2017

Perdagangan karbon di Kelantan: Bila ianya bermula?

 Majlis menandatangani MoA antara kerajaan Kelantan dan Climate Protectors
Perdagangan karbon di Kelantan pertama kali didengari dalam sidang dewan undangan negeri (Dun) Kelantan pada November 2016 apabila anggota Exco kerajaan negeri Datuk Anuar Tan dalam ucapannya menyebut Kelantan adalah negeri pertama di Malaysia terlibat dalam perniagaan karbon kredit.

Dalam penjelasannya, Anuar berkata setiap hektar hutan simpan kekal yang diserahkan kepada syarikat terbabit bernilai 20 kredit dengan satu kredit berharga RM25.00.

Kerajaan negeri (pada waktu itu), ujarnya telah menyerahkan 300,000 hektar hutan simpan kekal yang membawa nilai RM150 juta.

Bagaimanapun Bank Negara Malaysia telah menyenaraihitamkan Syarikat Climate Protector (Ecobit) yang menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan kerajaan negeri Kelantan bagi projek perdagangan karbon itu kerana terlibat dalam aktiviti pengambilan dana awam tanpa kebenaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia menafikan terdapat sebarang kerjasama dengan EcoBit, yang menggunakan logo UNDP tanpa kebenaran pihak mereka.

Menurut Penganalisis Komunikasi UNDP Ahmad Hafiz Osman, tiada projek UN-REDD atau UNFCC yang meluluskan projek REDD+ di Malaysia.

REDD+ merupakan mekanisma yang diusahakan PBB dalam mengurangkan pelepasan daripada sektor perhutanan yang dikenali sebagai Pengurangan Pelepasan daripada Penebangan Hutan dan Kemerosotan Hutan.

Bagaimanapun, logo tersebut sudah pun dikeluarkan daripada laman sesawang Ecobit beberapa hari sebelum UNDP mengeluarkan kenyataan agar logo UNDP tidak digunakan syarikat tersebut.

EcoBit merupakan syarikat yang menawarkan peluang pelaburan berasaskan “cryptocurrency” atau mata wang digital.

Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan syarikat teknologi hijau Climate Protectors Sdn Bhd. melalui Perjanjian Memorandum (MoA) dengan kerajaan Kelantan pada 9 Januari 2017.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...