TERKINI :

Tuesday, July 18, 2017

Penjelasan Dr Maszlee Malik, FITNAH di tahap Maksima

Penjelasan Dr Maszlee Malik.....

*FITNAH di tahap Maksima*

1. Fitnah yang bertujuan mengkafirkan dan menyesatkan saya kini telah berada di tahap yang kritikal. Walaupun ianya bertujuan politikal, namun kini ia melibatkan isu mengeluarkan saya dari agama Islam.

2. Sebagai pihak yang difitnah saya merasakan kewajipan saya untuk membela diri. Bagi merka yang berpegang dengan konsep tabayyun, penjelasan pihak yang difitnah, iaitu diri saya sendiri adalah sumber yang sepatutnya dicari, dan bukannya mendengar ulasan pihak memfitnah yang melakukan spin dari rakaman yang dikerat-kerat dan dimanipulasi.

3. Usaha fitnah berdasarkan ucapan yang dikerat-kerat, gambar yang diedit, dan video yang diubah suai bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Ia memberikan kesan mendalam kepada pembaca, pendengar dan penonton. Apatah lagi ia ditambah dengan caption sensasi dan pentafsiran pihak pemfitnah.

4. Gambar edit Tengku Razaleigh memakai tengkolok salib sewaktu pilihanraya 1990; video ucapan Tuan Guru Nik Aziz yang diulang-ulang di TV3 dengan ucapan ‘Tuhan Samseng’; video seks yang konon pelakunya DS Anwar Ibrahim; gambar lucah seks oral yang konon pelakunya DS Azmin; poster palsu yang mengatakan aktivis kemanusiaan Syed Azmi kononnya paderi yang menyamar menjadi Muslim. Kesemua ini merupakan fitnah dan kerja pihak pemfitnah yang profesional, yang dibayar semata-mata untuk tujuan pembunuhan karakter (character assassination).

5. Kini, apabila saya pula menjadi mangsa rakaman ucapan saya yang dikerat-kerat, ditafsirkan ikut sesuka hati si pemfitnah dan dibubuh label dan caption sensasi menjadi poster, barulah saya dapat merasakan perasaan mangsa-mangsa fitnah yang telah disebutkan.

6. Saya telah dijemput untuk sebuah forum di Dewan di bangunan Wesley, di sebelah gereja Methodist Wesley (bukan di dalam gereja seperti yang disebutan oleh pemfitnah) pada 8 Julai 2017. Saya dipadankan dengan Bishop Emeritus Hwa Yung, dan forum dipengerusikan oleh Reverend Sivin Kit.

7. Seperti yang telah dicoretkan oleh pengerusi BDS Malaysia mengenai forum tersebut, Prof Dr Nazari yang merupakan hadirin, saya telah memberikan komen objektif berbentuk penilaian positif dan negatif kepada gereja Evangelikal di Malaysia berdasarkan pengalaman saya bergaul dengan aktivis pelbagai agama. Saya mengambil peluang untuk mengkritik mereka, di samping memberikan cadangan kepada formula kehidupan harmoni berbilang agama di Malaysia.

8. Saya mencadangkan konsep ‘engagement’ (saling berhubung) berteraskan ‘mutual respect’ (saling menghormati) sebagai formula utama. Saya konsisten dengan konsep ini di mana-mana sahaja dengan sesiapa sahaja, anda hanya perlu google ‘ Maszlee Malik+mutual respect’. Saya juga telah mencadangkan kepada mereka agar tidak melakukan usaha memurtadkan Muslim di Malaysia dan juga tidak menyokong Zionis dan Israel.

9. Saya juga mencadangkan agar mereka sentiasa berhubung dan melakukan program bersama dengan badan-badan Islam arus perdana, dengan menyebutkan beberapa pertubuhan yang terlintas di dalam fikiran saya ketika itu, antaranya ABIM, PERKIM, Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia), IKRAM dan juga dengan jabatan-jabatan agama serta mufti-mufti terutamanya mufti Wilayah Persekutuan dan juga Mufti Perlis.

10. Saya juga telah menegaskan bahawa orang Melayu Muslim tidak akan dapat menerima konsep mendakwahkan Kristian kepada mereka sepertimana yang dilakukan oleh Evangelist di negara-negara dunia ketiga yang lain, kerana Kristian di dalam psiki orang Melayu lebih sinonim dengan pihak penjajah.

11. Saya juga telah berpeluang untuk membawakan dua potong terjemahan ayat al-Quran di dalam forum tersebut, Surah al-Maidah, ayat ke lapan dan juga Surah al-Hujuraat, ayat ke-13. Ayat yang pertama merujuk kepada anjuran Islam agar umat islam berlaku adil, manakala ayat kedua pula ialah tentang keperluan saling berkenalan.

12. Saya menekankan kepada hadirin juga betapa pentingnya sikap saling berkomunikasi dan mempelajari tentang satu sama lain dari sumber yang sahih, dan tidak bergantung hanya kepada media di dalam bahasa masing-masing sahaja. Maklumat di media hanya separuh dari kebenaran. Malangnya pihak pemfitnah tidak melaporkan ini semua. Mereka hanya memilih sudut tertentu untuk memanipulasi dan memberikan gambaran bahawa seolah-olah saya hanya bercakap mengenai menghina nabi dan mempersendakan nama Allah…

13. Penjelasan: Di pembukaan ucapan saya, saya telah menerangkan tentang teruknya zaman fitnah yang kita hidup pada hari ini, sehinggakan yang benar dikatakan salah, manakala yang salah dipaksakan benar. Ini selari dengan hadis Rasulullah SAW tentang dahsyatnya fitnah di akhir zaman.

14. Cuma di dalam menerangkan perihal dahsyatnya keadaan zaman ini, saya telah membawa satu ungkapan di dalam bentuk ‘mubalaghah’ (salah satu gaya ungkapan di dalam bahasa Arab) dengan mengatakan jika Prophets dan Saints hidup di zaman ini mereka akan tinggalkan profession (kerjaya) mereka. Di dalam berhadapan dengan audiens Kristian, konsep kenabian (prophethood) dan kewalian (sainthood) tidak sama seperti Muslim. Malah Muslim tidak menerima ramai individu yang dikatakan prophets (selain dari para Rasul yang disebutkan oleh al-Quran) apatah lagi saints di dalam kepercayaan Kristian. Namun, saya tetap berhati-hati dengan memilih perkataan profession dan tidak menggunakan istilah prophethood (kenabian) ataupun sainthood (kewalian).

15. Bagi audiens Kristian mereka tidak menganggapnya sebagai penghinaan, tetapi memahaminya sebagai bentuk ‘making my points’ (memberikan contoh). Maka mereka tidak mentafsirkannya sebagai menghina Nabi dan wali mereka, kerana mereka tahu itu bukannya yang dimaksudkan. Malah kenyataan itu di dalam aqidah Islam juga ada benarnya, kerana kalau nabi-nabi terdahulu hidup kembali di akhir zaman seperti nabi Isa contohnya, mereka tidak lagi menjadi Nabi, tetapi menjadi umat Nabi Muhammad SAW. 

16. Malangnya terdapat sekelompok hadirin yang datang semata-mata untuk mencari kesalahan saya, jika tidak salah pun, demi mencari ayat-ayat saya untuk mereka spin dan digunakan untuk fitnah demi habuan politik mereka. Mereka tidak cuba memahaminya dari konteks audiens Kristian. Malangnya, mereka berdiam diri sepanjang program, dan tidak pula bertanyakan kepada saya sewaktu sesi soal jawabapakah maksud perkataan saya, jika benar saya tersilap menghina Nabi. Ternyata kehadiran mereka adalah semata-mata untuk mencari bahan dan ruang untuk memfitnah saya. Malah, ketika habis forum, saya didatangi oleh pihak media seperti Malaysian Insight, Free Malaysia Today, dan beberapa media berbahasa Inggeris dan Cina. Mereka melakukan ‘tabayyun’ terhadap beberapa ucapan saya, kerana mereka takut tersalah ‘tafsir’ atau salah faham. Mereka bersikap profesional dan jujur. Itulah sikap dan akhlak Islami. Sikap inilah yang tidak ada pada para pemfitnah yang mengaku beragama Islam dan berusaha mengkafirkan saya. Tidak ada seorang pun yang kononnya mendakwa mereka hadir di dalam status facebook masing-masing itu bertanya dan bertemu dengan saya sewaktu mahupun selepas program tersebut. Kerana bukan tujuan mereka untuk mencari kebenaran, tujuan mereka hadir adalah untuk memfitnah!

17. Berkaitan tuduhan saya menghina nama Allah pula merupakan spin yang paling murahan, tetapi malangnya dipercayai oleh mereka yang tidak berfikir. Saya berusaha untuk tidak melanggar fatwa yang melarang bukan Islam menggunakan nama Allah di dalam program mereka. Maka apabila saya tersilap menyebut nama Allah sebelum membacakan terjemahan ayat 8, surah al-Maidah dari al-Quran, dan terus mengakui kesalahan saya, saya tergelak kerana sikap alpa tersebut. Sikap alpa saya itu disambut dengan gelak para hadirin yang menyaksikan sikap tidak cermat saya. Tidak pernah terlintas dalam hati saya bahawa itu menghina nama Allah, apatah lagi di kalangan hadirin. Malangnya pihak pemfitnah telah membubuh tafsiran mereka di dalam rakaman yang telah diedit itu dan memberikan innuendo bahawa saya telah menghina nama Allah. Jika ada sesiapa yang dihina disitu, ianya hanyalah sikap tidak cermat saya pada asalnya tersilap menggunakan nama Allah di hadapan hadirin bukan Islam, dan kemudiannya saya tersedar dan cepat-cepat mengubahnya kepada perkataan God the almighty yang juga merujuk kepada Allah.

18. Apa yang penting, ungkapan tersebut diungkapkan sebelum membacakan ayat-ayat al-Quran. Bukankah sepatutnya umat Islam sepatutnya berasa bangga dan menyokong usaha saya memperkenalkan ayat-ayat al-Quran di dalam audiens bukan Islam? Malah di dalam bangunan sebelah gereja? Malahan di kalangan audiens yang berpaksikan gereja? Bukankah ia satu bentuk dakwah yang tidak ramai para ustaz dan pendakwah mampu melakukannya? Kebanyakan para ustaz lebih selesa berdakwah kepada mereka yang telahpun Muslim. Mengapa pula bila saya berdakwah di gereja, sudahlah tidak disokong, difitnah dengan rakaman yang dikerat-kerat pula?

19. Kini usaha fitnah yang ditularkan ke seluruh Malaysia ini telah semakin parah. Tujuan utamanya ialah untuk mengkafirkan saya sepertimana yang pernah dilalui oleh Tengku Razaleigh pada PRU 1990 dahulu, dan juga yang menimpa Syed Azmi baru-baru ini. Usaha mengkafirkan saya melalui poster-poster fitnah dan rakam sekerat-sekerat ini tidak ubah seperti sikap golongan ekstrimis dan pengganas seperti ISIS, Taleban dan Wahabi ekstrimis yang ratib mereka adalah dengan mengkafirkan sesama Muslim.

20. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah berhubung langsung dengan saya untuk tabayyun, terutamanya  sahabat-sahabat dari Johor dan lepasan Jordan yang lain. Bagi mereka fitnah tersebut terlalu berat dan mereka tidak dapat menerimanya.

21. Untuk mereka yang berterusan memfitnah di FB dan website, ataupun mentularkan poster fitnah. Beberapa pihak telah tampil untuk menawarkan khidmat pro bono untuk membantu diambil tindakan undang-undang ke atas mereka. Saya masih mempertimbangkan untuk tidakan tersebut, walaupun hati saya lebih cenderung untuk sekadar memaafkan mereka sepertimana Rasulullah SAW menganjurkan agar Muslim mengutamakan kemaafan berbanding permusuhan berterusan.

22. Bagi mereka yang terlibat mentularkan poster-poster fitnah, rakaman yang telah diedit, dan juga mesej-mesej Whatsapp yang mengkafirkan saya tetapi tidak langsung mengenali diri saya, saya harapkan agar kita bersama menghayati ayat 36, surah al-Isra: “Janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai ilmu tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, itu semua akan diminta pertanggungjawaban.”

Mungkin anda boleh membaca buku saya, ‘Risalah Pemuda Muslim’ untuk mengenali lebih dekat diri dan pemikiran saya berbanding fitnah-fitnah murahan yang telah ditularkan. Anda boleh dapatkannya di sini: http://imanshoppe.com/risalah-pemuda-muslim.html

Jika berkesempatan, bagi mereka yang ingin bertabayyun, silalah datang ke UIA, ke bangunan Human Sciences, ke HS café. Kita boleh bertabayyun, sambil saya belanja anda makan Laksa Johor terbaik di Kuala Lumpur ini…

Maszlee Malik

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10212395747640704&id=1591032465

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...