TERKINI :

Monday, July 10, 2017

Pemuda Amanah dan NGO buat laporan polis isu karbon kredit dan ecobit

KOTA BHARU - Pemuda Amanah Kelantan, DAP, Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumi dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan polis berhubung penglibatan kerajaan negeri melalui syarikat Climate Protector Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan karbon kredit.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan berkata, pihaknya terpanggil membuat laporan setelah melihat projek berkenaan yang dijalankan oleh sebuah syarikat yang bukan sahaja tidak berdaftar di bawah Bank Negara malah disenarai hitam.

“Kita mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat secara telus terhadap tindakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang menandatangani perjanjian melalui syarikat itu namun kini mengambil sikap' berdiam diri' selepas pendedahan dibuat sebelum ini.

“Seharusnya perkara ini dibawa ke mahkamah memandangkan ia bukan isu remeh dan kami telah memeriksa bahawa syarikat terbabit merupakan syarikat yang hanya ada nama namun tidak wujud,”katanya.

Hazmi berkata, isu itu merupakan kecuaian yang amat besar dilakukan pimpinan kerajaan negeri, memandangkan MB dan kerajaan negeri sendiri tidak menyiasat dan melakukan kesilapan dalam urus tadbir di negeri ini.

Seramai 30 pimpinan termasuk ahli Bersatu, Amanah, DAP, Bumi dan SAMM hadir membuat laporan terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Sementara itu, wakil DAP Mohd Fauzi Mohd Azmi, berkata, kerajaan negeri harus menarik balik projek berkenaan dan perlu menyerahkan perkara ini kepada pihak polis memandangkan isu ini terlalu serius yang boleh menyebabkan kerugian ekoran pelaburan yang dilakukan juga amat meragukan.

“Hal ini harus disiasat hingga ke akar umbi kerana memandangkan ia melibatkan urus tadbir kerajaan negeri yang mudah terpedaya dan terlibat dengan syarikat yang diragui. MB juga begitu mudah meluluskan kawasan satu juta ekar tanah dan projek ini juga telah mempengaruhi orang ramai untuk melabur.

“Adakan syarikat terbabit benar-benar melindungi alam sekitar melalui projek yang dijalankan atau hanya mahukan wang?,”katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menafikan pernah mengeluarkan arahan meminta berkenaan atau mana-mana pihak mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon kredit.

Dalam kenyataan itu Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan berharap mana-mana pihak yang membuat apa jua bayaran agar membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib.

Ekoran itu, pihak kerajaan negeri telah memanggil wakil syarikat itu dan mereka telah memberikan pembentangan. Apa sahaja dakwaan yang wujud kepada syarikat itu, mereka akan buat penjelasan dalam masa terdekat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...