TERKINI :

Thursday, July 13, 2017

Mufti - Pulau Pinang menggalakkan azan dua kali setiap subuh

 
Pernah didakwa melarang azan, pihak berkuasa Islam di Pulau Pinang kini menggalakkan masjid di negeri itu melaungkan azan dua kali setiap subuh.

Kenyataan itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) melalui surat bertarikh 6 Julai lalu dan ditandatangani sendiri oleh pengarahnya, Datuk Sazali Hussein.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Noor berkata pihaknya mengeluarkan nasihat itu setelah melakukan perbincangan mengenainya selama enam tahun.

"Ia dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankusa Mufti Pulau Pinang pada 18 dan 19 April lalu.

"Jabatan Mufti meminta Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jaipp mengeluarkan surat kepada masjid dan surau di seluruh negeri mengenai nasihat itu," katanya.

Menurut Wan Salim, amalan berkenaan dibuat sebagai langkah melaksanakan sunnah yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW dulu.

Katanya lagi azan pertama dilaungkan kira-kira 30 minit lebih awal daripada waktu Subuh dan bertujuan untuk mengejutkan umat Islam daripada tidur.

Azan kedua pula, katanya, dikumandangkan sebaik masuk waktu solat Subuh.

Bagaimanapun, Wan Salim berkata, ia bukanlah dimestikan kepada masjid dan surau, sebaliknya ia digalakkan kepada mereka.

Untuk makluman, amalan azan dua kali pada setiap subuh bukanlah sesuatu yang aneh. Ia memang diamalkan di beberapa negara lain termasuk Arab Saudi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...