TERKINI :

Monday, July 24, 2017

Inilah manusia yang di gelar "DIN PEDU" sewaktu dalam PAS dahulu..!!

BismillahirRahmanirRahim

TIMBALAN PRESIDEN SAYA IALAH SALAHUDDIN AYUB: ANAK CINA DIPLOMAT AMANAH

Tutur katanya tersusun dan satu satu butir katanya menyelinap ke sanubari yang mendengar pidatonya. Pemilihan katanya disulami dengan puitis dan bicara para pujangga. Kalam Tuhan dan sabda Nabi tetap tidak ditinggalkan. Bibirnya tidak lekang dari kuntuman senyuman riang dan ringan. Jarang menyakitkan kawan dan lawan. Tatkala tawa jenaka kawan memecah dewan, dia kekal senyum sekadar meraikan. Sewaktu ditemuramah oleh wartawan asing di dalam Bahasa Inggeris di Singapura, Salahuddin bertutur lancar sebagaimana bahasa ibundanya.

Di ruang tamu rumahnya di Taman Melewar tidak jauh dari rumah sahabat kami, Ust. Idris Ahmad terdapat almari penuh buku. Begitulah pejabatnya di Jalan Raja Laut, deretan bukunya memenuhi biliknya. Pernah sekali menemani membeli belah buku di Carboot Sale. Teruja melihat himpunan buku yang ada. Itu untungnya duduk di negeri orang putih. Telah jadi tradisi orang putih, buku bukan untuk disimpan. Buku untuk dibaca. Habis baca, jual atau bagi pada orang lain untuk dapat manfaat.

Salahudin Ayub meneruskan pengajiannya yang tertangguh. Dia ambil ijazah di dalam bidang Sains Pembangunan Manusia di UPM. Sesekali berkongsi idea tentang nota kuliahnya dengan aku. Saat itu, beliau adalah Timbalan Ketua Pemuda. Mahfuz Omar jadi ketuanya. Mereka adalah regu sejati, Dipenjara bersekali. Kedua-dua pemimpin Pemuda PAS ini menaiki bas ke merata tempat untuk bertemu dan berceramah. Sehingga Salahuddin menjadi Ahli Parlimen, bas espress menjadi tempat tidurnya. Stesyen Bas Medan Kidd, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Puduraya adalah tangga rumahnya. Benarlah rakan-rakannya memanggil Salahuddin Ayub dengan nama 'Din Pudu'. 

Markaz Tarbiyyah Taman Melewar adalah rumah kedua kami. Kadangkala kami tidur berselerak. Kalau satu bilik penuh, ada yang memilih di bilik mesyuarat, tidur di ruang tengah meja mesyuarat. Jarang aku dikejutkan dari tidur. Suara Salahuddin Ayub membaca al Quran perlahan-lahan seperti ingin mengejutkan aku untuk solat subuh berjemaah. Penampilannya sama kemas dengan bossnya, Mahfuz Omar. Disisir rambutnya macam Ust. Fadzil menyisir rambut. Perlahan-lahan dan berkali-kali. Sedangkan penampilan aku, berseluar jeans selalu.

Salahuddin Ayub dilahirkan dari rahim seorang wanita Cina, Ayahnya orang Johor tetap berbudaya Melayu walaupun berkahwin dengan gadis Cina pilihan hatinya. Aku teringat puisi 'Melayu' Usman Awang yang mendefinisikan tentang Melayu. Ramai yang tahu puisi itu.Melayu bukan sekadar bangsa tetapi satu kebudayaan. Aku cuma hendak kongsikan cuplikan puisi yang bertajuk 'Piagam Melayu' karya Syed Putra Ahmad, sahabatku yang meriwayatkan Melayu:

Melayu bukan kulit tapi rupa bangsa
Melayu itu budaya buah agama
Semuanya terjelma dalam bahasa
Budi yang halus falsafah mulia
Dianyam dihampar dalam kata-kata
Dalam berbuat peradaban terbina

(sebenarnya puisinya panjang)

Beliau tinggalkan bumi Pontian untuk tinggal di Taman Melewar selepas menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian. Rumahnya sekadar persinggahan sementara. Amanah yang digalas menuntut beliau menghabiskan usia di jalanraya dan lebuhraya. Kak Fatimah, isterinya tetap mengambil upah menjahit baju bagi menampung harga perjuangan dan kebahagian rumahtangga.

Pengujung tahun 2009, Tok Guru dan keluarganya hendak menunaikan umrah tetapi dikhabarkan ditaja oleh seseorang. (akupun lupa cerita yang lebih  lanjut). Rupa-rupanya rancangan kunjungan ke tanah suci itu telah menimbulkan polemik hangat dan dianggap sebagai satu cubaan rasuah. Mesyuarat AJK PAS Pusat memutuskan untuk menghantar Salahuddin Ayub dengan seorang lagi (tak ingat) bertemu dengan Tok Guru Nik Aziz bagi menyelesaikan isu tersebut. Aku pun tak tahu bagaimana Salahuddin Ayub berdiplomatik dengan Tok Guru hingga isu itu selesai dengan baik. Aku patut tanya Salahuddin hal ini.

Personalitinya yang tenang memang menyenangkan. Kalau pemain bolasepak, wataknya seperti Soh Chin Aun. Sambil berlari, bolanya sentiasa di kaki dan menyusun strategi. Team bolasepak dibawah pimpinan Soh Chin Aun memang 'lajen'. Sifat dan sikap itu terdapat padanya sewaktu memimpin Dewan Pemuda PAS ketika itu. Di bawah kepimpinannya, idea 'Hiburan Alternatif' dapat direalisasikan dengan tanpa sebarang masalah. Bagai menarik rambut di dalam tepung. Beliau dihantar ke beberapa kawasan yang bermasalah untuk mencari jalan penyelesaiannya. Itulah watak pendamai.

Pada PRK Parlimen Teluk Intan, rumah aku dijadikan rumah tetamu untuk para pimpinan PAS Pusat. Tambahan pula, rumah aku hanya sepelaungan dengan Markaz PAS Teluk Intan. Antara yang tidur di rumah aku ialah Salahuddin. Dia memilih tidur di lantai daripada katil yang kusediakan. Sahabat-sahabat lainlah yang tidur atas katil. Jangan korang kata, alaa.. tidur di lantaipun nak heboh. Kalau hati sudah busuk, payah nak bawa berkira.

Salahuddin pilih tidur di lantai kerana dia nak baca buku sebelum tidur. Dia tidur bersebelahan rak buku. Sambil duduk-duduk dia membelek-belek buku aku. Rak buku memang penuh. Salahuddin Ayub memang kaki buku. Kalau dalam ceramahnya, dia ambil beberapa kata-kata yang dipetik daripada buku yang baru dibaca. Seperti kebanyakan pimpinan politik, mereka suka baca buku sejarah dan politik. Begitulah Salahuddin Ayub.

Pada 2008, Muktamar PAS Pusat diadakan di Ipoh. Masa itu Hj. Nizar Jamaluddin jadi MB walaupun PAS hanya ada 6 ADUN sahaja. Berkebetulan aku balik dari UK untuk ziarah arwah ayahku yang sedang sakit. Sehari sebelum  Muktamar Pemuda PAS Pusat berlangsung, ayahku telah dijemput kembali kepada ke pangkuan Ilahi. Malam itu, Salahuddin Ayub datang menziarahi dan mengucapkan takziah atas kehilangan insan yang sangat besar dalam hidup aku.

Sebelum Salahuddin Ayub meninggalkan Dewan Pemuda PAS Pusat, aku karang sebuah puisi yang bertajuk 'Jangan Ucapkan Selamat Tinggal'. Puisi itu kudeklamasikan semasa majlis perasmian Muktamar Pemuda yang dirasmikan oleh Tok Guru Nik Aziz. Salahudin Ayub tinggalkan Dewan Pemuda, akupun turut tinggalkan Dewan Pemuda. Masa itu kami sudah tidak lagi muda!

Setelah beberapa tahun menjadi Ahli Parlimen, Salahudin minta pandangan aku tentang hasratnya untuk menggunakan AP sebagai ahli Parlimen untuk membeli kereta Mercedes. Aku tidak setuju. Nanti apa kata orang bawahan kita. Baru beberapa tahun jadi ahli Parlimen, sudah tunjuk kemewahan. Memanglah sirah nabi dulu, ada sahabat guna kuda hitam yang baik untuk perang dan pengangkutan. Bersyarah panjanglah aku pada boss aku. Dia diam.

'Kalau nak beli kereta yang  selesa, beli kereta Honda sahaja'. Aku cakap. Akhirnya dia beli kereta Honda CRV. Dia bukan akur dengan nasihat aku. Dia ada fikirannya sendiri.

Sekembalinya aku ke tanahair, aku beli kereta Mercedes C200 dengan menggunakan AP pelajar. Salahuddin senyum saja bila aku bawa kereta Mercedes. Sebelum dia berkata-kata apa, awal-awal aku cakap, 'Ana bukan ahli Parlimen PAS, tak pa pakai Mercedes. Tak  jadi fitnah perjuangan'. 

Salahuddin seperti biasanya, senyum tetap menyenangkan.

* Foto: Sewaktu kecil Salahudin Ayub ditimang emak, sekarang dilambung ombak. Teruskan!

Sumber: FB Dr. Muhaimin Sulam

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...