TERKINI :

Wednesday, July 5, 2017

Hadi mahu isu 1MDB diselesai berpandu al-Quran

05 Julai 2017 | MALAYSIA DATELINE

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, 1MDB adalah rentetan masalah yang belum diselesaikan secara adil sejak negara ditadbir oleh perdana menteri sebelum Datuk Seri Najib Razak.

"Dahulunya BMF, Perwaja, KWSP, Petronas, Tabung Haji, pertukaran wang asing, Skyhawk, Maika Holdings dan PKFZ. Kini muncul 1MDB dan rumah banglo di Pulau Pinang dan mungkin lain-lain lagi. Semuanya dalam tuduhan tanpa tindakan yang seadil-adilnya.

"Saya tidak termasuk dalam kalangan Melayu yang mudah lupa terhadap isu yang wajib berlaku di setiap zaman Perdana Menteri bermula sejak tahun 80-an. Semuanya ditinggalkan tanpa penyelesaian, bahkan dilupakan khususnya kepada Melayu yang mudah lupa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengulangi pendirian bahawa tidak bersetuju terhadap campur tangan asing dalam isu dalaman negara kerana mengundang akibat yang lebih buruk dan tiada keikhlasan kuasa asing dalam dunia hari ini.

"Langkahnya laksana menebuk kapal untuk mendapatkan air secara mudah.

"Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya.

"Kita juga tidak boleh menunggu apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran tentang bagaimana semua penyangak di dunia ini akan mengutuk sesama sendiri di Hari Akhirat," tegasnya.

Justeru, katanya, Pas tidak boleh menjadi gerabak kereta api yang disangkut kepada kepala yang menuju ke arah yang salah, sekadar membawa perubahan pemimpin yang berkonsep ‘2 x 2’ atau ‘2 + 2’, di mana jawapannya sama.

"Pas tidak boleh mengikut sunnah mereka yang melahirkan saudara-saudara 1MDB dan saudara maranya yang akan lahir selepas ini kerana sunnah yang sama acuannya.

"Pas tetap tegas dan teguh beristiqamah mengikut penyelesaian Islam daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. walaupun banyak liku dan jauh perjalanannya," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...