TERKINI :

Wednesday, July 26, 2017

AES/AwaS sejak ianya mula dikuatkuasakan sehingga terkini adalah sebanyak 142,135 notis saman dikeluarkan

Semalam 25 Julai 2017 Ahli Dewan Rakyat Kawasan Pokok Sena Dato' Haji Mahfuz Omar bertanyakan kepada Menteri Pengangkutan :

(a) berapakah jumlah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang baru dipasang sehingga kini dan berapakah jumlah pembayaran telah dibuat untuk pemasangan kamera tersebut; dan

(b) berapakah jumlah saman dikeluarkan dan berapakah pengguna dikenakan pemotongan mata dimerit sejak penguatkuasaan AWAS (Automated Awereness Safety System) pada 15 April 2017 sehingga sekarang.

Hari ini jawapan bertulis dari Menteri diterima dan ini jawapannya.

a) Sehingga kini sebanyak 21 kamera Automated Awareness Safety System (AwaS) telah beroperasi melibatkan 8 lokasi di negeri Perak, 2 lokasi di negeri Selangor, 3 lokasi di Kuala Lumpur, 2 lokasi di Putrajaya, 2 lokasi di negeri Johor, 1 lokasi di Kelantan, 1 lokasi di Kedah dan 2 lokasi di Terengganu. Segala kos berkaitan pembangunan, penyelenggaraan dan operasi sistem serta infrastruktur AwaS adalah dibiayai oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

b) Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah saman yang dikeluarkan kepada pemandu kenderaan melalui sistem AwaS sejak ianya mula dikuatkuasakan pada 15 April 2017 sehingga terkini adalah sebanyak 142,135 notis saman. Daripada jumlah tersebut sebanyak 12,354 notis saman telah dikeluarkan berkaitan kesalahan gagal patuhi lampu isyarat merah dan 129,781 berkaitan kesalahan memandu melebihi hadlaju yang ditetapkan. Manakala bagi pengguna yang dikenakan mata demerit adalah sebanyak 7,258 orang.

TAHNIAH kepada Menteri Pengangkutan kerana menjawap soalan dengan jelas dan tepat.

Jawapan Menteri Pengangkutan menimbulkan beberapa perssoalan antaranya ialah :

a) Bagaimana semua pembiayaan pembangunan, penyelenggaraan dan operasi sistem serta infrastruktur AwaS dibiayai sendiri oleh syarikat penyedia perkhidmatan iaitu LTAT sedangkan dalam jawapan Menteri di Dewan Rakyat pada sidang yang lalu, Menteri menjelaskan bahawa secara dasarnya, kaedah pembayaran akan terbahagi kepada dua iaitu fi tetap dan fi boleh ubah. Bagi bayaran fi tetap, MOT dan LTAT telah bersetuju supaya bayaran adalah mengikut jumlah pemasangan kamera sehingga April 2018, manakala fi boleh ubah adalah selaras dengan keputusan yang dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 November 2016 iaitu berdasarkan jumlah saman sah yang dikeluarkan oleh pihak JPJ.

Hari ini Menteri menyatakan bahawa semua kos pemasangan, penyelenggaraan dan operasi dibiayai sendiri oleh syarikat sedangkan sebelum ini telah dipersetujui MOT membayar berdasarkan fi tetap. Adakah benar Kerajaan melalui MOT tidak membayar sesen pun kos pemasangan kamera atau Menteri cuba mengelirukan Dewan dengan menyembunyikan pembayaran yang dibuat oleh MOT kepada syarikat?

b) Berdasarkan jawapan (b) jelas bahawa sebanyak 7,258 pengguna daripada 142, 135 telah membayar tawaran kompaun justeru dikenakan hukuman melalui sistem mata demerit. Persoalannya sehingga kini, pengguna tidak dimaklumkan status saman yang dikeluarkan adakah ianya akan dibawa ke Mahkamah atau bagaimana? Sejak Disember 2012 semua prosiding mahkamah bagi saman AES yang kini dijenamakan semula sebagai AwaS dibekukan oleh Jabatan Peguam Negara. Kenapa pengguna perlu membayar tawaran kompaun dan dipotong mata demerit sedangkan saman-saman tidak dibawa ke Mahkamah? Jika penerima saman tidak membayar kompaun, apa status mereka?

Tindakan MOT melalui JPJ meminta pengguna membayar kompaun tanpa menjelaskan bahawa saman tidak dibawa ke Mahkamah dan kemudian memotong mata demerit adalah tidak berhemah. Ianya jelas menzalimi pengguna yang tidak mengetahui hakikat sebenar proses undang-undang. MOT dan JPJ seolah-olah mengambil kesempatan di atas kurangnya pengetahuan pengguna tentang undang-undang.

Menteri Pengangkutan perlu jelaskan persoalan ini.

ZULHAZMI SHARIFF
Pengerusi
Sekretariat Protes AES (ProtAES)
26 Julai 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...