TERKINI :

Saturday, June 24, 2017

Sg. Petani : Restoran tumpuan kaki ponteng puasa


SUNGAI PETANI – Walaupun sudah minggu akhir Ramadan, namun masih terdapat pengusaha kedai makan yang gagal mematuhi arahan perniagaan untuk memulakan jualan selepas jam 3 petang.

Ini dibuktikan apabila sebuah restoran di sini dikenal pasti menjalankan perniagaan sebelum jam 3 petang apabila didatangi beberapa pelanggan bagi mendapatkan makanan sejak pagi.

Hasil maklumat awam memaklumkan kedai terbabit menjalankan perniagaan makanan kepada kaki ponteng puasa setelah dilihat didatangi beberapa pemuda pada jam 11 pagi.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi dimaksudkan dua jam kemudian turut mendapati kedai terbabit masih menerima pelanggan termasuk bukan Islam, yang tanpa segan-silu berurusan menggunakan pintu hadapan sebelah tepi.

Walaupun setiap penjuru kedai ditutup dengan bidai kayu, namun pintu tepi sekeliling kedai dibiarkan terbuka sedikit.

Kelihatan beberapa kipas di kaki lima dibuka seperti biasa, mungkin memberi petanda kepada pelanggan yang kedai terbabit beroperasi seperti biasa.

Hasil pemerhatian mendapati selepas beberapa minit menunggu di pintu terbabit, seorang petugas datang kepada pelanggan yang menunggu di luar dengan membawa beg plastik berwarna hitam.

Sejurus membuat bayaran, pelanggan kemudian bergegas membonceng motosikal bersama seorang lagi teman yang siap sedia menunggu sebelum memecut laju meninggalkan kedai terbabit.

Yang menghairankan, kedai terbabit berurusan secara terbuka dengan pelanggan di bahagian hadapan pintu yang boleh dilihat orang awam tanpa mempelawa masuk ke dalam premis bagi mengaburi perbuatan mereka.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, tindakan penguatkuasaan ataupun hukuman keras perlu dikenakan bagi mengelakkan perkara sama berulang saban tahun bertujuan menghormati perintah berpuasa ke atas orang Islam sepanjang bulan Ramadan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...