TERKINI :

Saturday, June 24, 2017

Sada sedia agih 2.2j liter air di musim perayaan


ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) sudah bersedia untuk mengagihkan sebanyak 2.2 juta liter air sehari sekiranya berlaku krisis gangguan air sepanjang musim perayaan nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata, jumlah itu adalah sekali ganda berikutan persediaan yang rapi dilakukan oleh pihaknya berdasarkan pengalaman tahun lepas.

"Tahun ini kita membuat persiapan yang lebih baik dengan menyediakan 127 lori memandangkan Sada  mengenal pasti lebih banyak kampung yang bakal terjejas iaitu 257 buah kampung.

"Operasi penghantaran air menggunakan lori bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam dan  sekiranya keadaan semakin buruk, kita akan hantar 24 jam selama tujuh hari semasa Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media khas selepas taklimat dan persiapan terakhir menangani masalah air menjelang Aidilfitri di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Datuk Badrul Hisham Hashim.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din yang mempengerusikan sesi taklimat sebelum itu berkata, beliau berpuas hati dengan semua persiapan kontingensi gangguan bekalan air yang dilakukan semua pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba sepanjang Aidilfitri nanti.

"Cuma kita agak kecewa apabila loji Pokok Sena yang dijangka siap pada tahun ini, masih belum dapat beroperasi seperti yang dirancangkan. Sekiranya beroperasi kelak, bekalan air di kawasan Pokok Sena dan Kota Setar dijangka selesai.

"Lima projek loji yang lain iaitu Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Bukit Selambau (Merbok), Loji Rawatan Air Sungai Limau (Baling), Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama dan Loji Rawatan Air Jenun Baru (Yan dan Pendang) masih dalam peringkat penilaian," katanya.

Sementara itu, Badrol Hisham menjelaskan, satu taklimat mengenai pelan kontingensi gangguan air akan turut diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

"Isu ini berkaitan rakyat, kami mahu semua pihak mendapat maklumat bagi memastikan tiada masalah berlaku hingga membebankan rakyat nanti," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...