TERKINI :

Thursday, June 29, 2017

Radar Tentera Hilang - Apa sudah jadi???

KENYATAAN MEDIA

Insiden Kehilangan Radar Ketenteraan di Pelabuhan Tg Pelepas Menjejaskan Keselamatan Negara

Kehilangan konsainan radar ketenteraan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor yang dilapor pagi tadi amat mengejutkan dan merisaukan. Ini merupakan satu kejadian kebolosan keselamatan negara yang amat serius.

Peralatan radar ketenteraan bernilai berjuta-juta ringgit yang dalam perjalanan dari Australia ke Netherlands telah ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana ketiadaan permit dibawah Akta Perdagangan Strategik 2010 bulan lalu, tetapi didapati telah hilang dan dipercayai telah diseludup keluar dari negara ini.

Insiden ini bukan sahaja melibatkan kehilangan peralatan ketenteraan yang kini mungkin telah dicuri atau diseludup keluar, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di salah sebuah pelabuhan terpenting di negara ini.

Memandangkan pihak kastam dan pelabuhan sepatutnya mempunyai kawalan keselamatan yang tinggi dan rapi, insiden ini cukup merunsingkan. Ini kerana jika peralatan radar ketenteraan boleh dicuri atau diseludup dengan begitu mudah, apatah lagi penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia malah juga salah urus kargo atau konsainan bahan berbahaya.

Amatlah mengecewakan jika wujud sebarang elemen rasuah dan persekongkolan di dalam jenayah ini, dan saya menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan sepenuhnya.

Memandangkan insiden ini melibatkan aspek keselamatan dan hubungan luar negeri, saya menggesa Putrajaya, Kementerian Dalam Negeri dan Kastam Di-Raja Malaysia untuk segera memberi penjelasan terhadap isu ini serta menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan keselamatan di pelabuhan-pelabuhan negara ini diperketat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

29 Jun 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...