TERKINI :

Friday, June 2, 2017

Mazlan Aliman : FELDA, ANAK, TUN MAHATHIR & PAKATAN HARAPAN

MEMANDANG KEHADAPAN DEMI PERUBAHAN BESAR INI!

Saya bertemu Ybhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana pada tahun 2015 diketika sesetengah pimpinan PAS ada pro dan kontra mengenai beliau. Pada ketika itu beliau masih UMNO dan menyayangi UMNO.

Saya dan rakan2 pimpinan ANAK menemui Tun Dr Mahathir dalam kunjung hormat, mengambil kira jasa dan pengalaman luas beliau selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tun Dr Mahathir lebih berminat bercerita mengenai isu 1MDB yang telah mula menjadi topik hangat dan dikaitkan dengan DS Najib Tun Razak.

Ia disusuli pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Abd Kadir Syeikh Fadhil, Tan Sri Syed Hamid Albar, Dato' Saifudin Abdullah dan ramai lagi tokoh tokoh UMNO. Meskipun mereka berbeza idealogi politik, engagement mesti di teruskan, dalam konteks bertukar tukar pandangan demi kebaikan negara.

Sekembalinya Tan Sri Muhyiddin Yasin dari luar negara dan disambut secara besar besaran di KLIA, saya antara yang menunggu ketibaan beliau. Saya dan beberapa pimpinan AMANAH Johor hadir mengucapkan simpati atas pengguguran beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya, Dato' Husam Musa, YB Aminolhuda Hassan dan Suhaizan Kaiat berpeluang bertemu dan mendengar sendiiri hampir 2 jam di rumahnya mengenai punca krisis beliau dengan DS Najib.

Apabila Dato' Kamarudin Md Nor, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM)mengundang saya dan Tuan Mohd Said Jonit, mantan Pengarah Felda Plantation dalam taklimat isu Felda kepada 50 kepimpinan PPBM, ia permulaan kepada penubuhan Taskforce ANAK-PPBM dalam menggerakkan kesedaran di kalangan masyarakat Felda seluruh negara.

Hasilnya, Jelajah Semarak Kasih Felda yang dihadiri Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan pimpinan PH berjaya menghimpunkan ribuan warga Felda. Sesuatu yang tidak pernah berlaku, kecuali di masa reformasi bersama DS Anwar Ibrahim.

Pengundi Felda bukan sahaja ' Simpanan Tetap' BN di 54 kawasan Parlimen tetapi amat sukar ditembusi untuk sebarang aktiviti.

Pahit untuk diceritakan pengalaman lebih 25 tahun dengan peneroka Felda, tapi kini penerimaan dan perubahan sikap yang ketara; manis pula dirasai!

Hari ini apabila Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Dato' Seri Dr Wan Azizah, Hj Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng(sekadar beberapa nama) bersama dalam pakatan pembangkang yang dikenali Pakatan Harapan, saya seperti bermimpi...

Manakan tidak, mereka mereka ini ada sejarah tersendiri yang tidak akan terpadam selamanya. Ia terlalu amat pahit dan pedih. Saya pasti ada lagi di luar sana yang tidak dapat menerima keberadaan Tun Dr Mahathir, angkara kisah lalu. Tun Mahathir sendiri memahaminya...

Namun, saya amat bangga dan kagum jiwa besar DS Anwar, Kak Wan dan keluarganya yang berupaya mengetepikan kepentingan keluarga demi agenda besar menyelamatkan negara ini dari kemusnahan, pemerintahan kleptokrasi Najib dan Barisan Nasional!

Seperti kata Abang Mad(panggilan manja saya pada Hj Mohd Sabu) ' Dua kali saya kena ISA zaman Tun Mahathir, tersiksa dan menderita...tapi kini Tun Mahathir dah tak de kuasa, umur pun dah 92 tahun; bersama kita nak ambik kuasa dari Najib dan BN yang korup!'

Pakatan Harapan akan umumkan logo resmi minggu hadapan. Perbincangan kerusi telah bermula. Satu manifesto atas nama PH telah disepakati. Tentu sekali mewakili warga Felda, saya ingin tahu apa tawaran buat para peneroka, Generasi Kedua Felda dan masyarakat Felda pada keseluruhannya.

ANAK bersedia berkongsi pandangan demi menghasilkan tawaran terbaik untuk warga Felda yang muram dan murung di zaman Najib!

Wahai pimpinan PH, bawalah perubahan sebenar untuk rakyat. Tolong jangan dihampakan rakyat jelata yang sekian lama bernasib malang.

Hentikan kemelut sesama sendiri. Jangan di bawa DNA BN dalam Pakatan Harapan. Tangani apa jua masalah  secara matang dari iktibar masa lalu.

Pakatan Harapan bukan milik AMANAH, PKR, DAP dan PPBM sahaja, ia milik seluruh rakyat Malaysia yang idamkan perubahan.

Moga Ramadhan akan menyatu dan menginsafkan kita semua demi SELAMATKAN MALAYSIA.

' Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri'
Ar Ra'du: 11

Mazlan Aliman
2 Jun 2017/1.30 pagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...