TERKINI :

Sunday, June 18, 2017

Ketua Pembangkang mahu sidang parlimen tergempar mengenai dakwaan DOJ diadakan segera

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesa kerajaan mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan dakwaan Jabatan Keadilan Sosial (DoJ) Amerika Syarikat dalam saman sivil berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Beliau berkata skandal 1MDB yang telah mendapat perhatian masyarakat dunia ini menjadi lebih memeranjatkan apabila timbul dakwaan terbaru bahawa sebanyak RM17 bilion telah diseleweng oleh “pegawai tertinggi negara” untuk membiayai kehidupan serba mewah.

“Memandangkan dakwaan terbaru ini melibatkan maruah negara, saya menggesa supaya sebuah sidang tergempar Parlimen diadakan sesegera mungkin bagi membincangkan dakwaan terbaru ini.

“Mengadakan sidang tergempar di luar waktu persidangan Parlimen bukanlah amalan yang luar daripada kebiasaan. Terutama sekali apabila isu yang dibincangkan itu melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataannya hari ini.

SIdang tergempar Parlimen pernah diadakan pada 23 Julai 2014, bagi membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 nyawa.

Sebuah Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen pula telah diadakan pada 26 Januari 2016.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4, Akta Parlimen, hanya Ketua Majlis (Perdana Menteri) boleh boleh meminta supaya sidang tergempar Parlimen diadakan dengan mengemukakan usul kepada Speaker.

“Maka dengan ini saya menggesa Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen sesegera yang mungkin bagi membincangkan dakwaan terbaru oleh DOJ.

“Lantas dapat membersihkan nama negara dari sebarang cemuhan dan tohmahan,” ujar Wan Azizah yang juga Presiden PKR itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...