TERKINI :

Tuesday, June 27, 2017

Kenyataan Kerajaan BN tentang saman DOJ amat remeh


Oleh:Mohamed Hanipa Maidin

1.Apabila membaca sebahagian daripada kenyataan oleh beberapa individu mengenai saman terbaru DOJ bagi merampas wang daripada dana yang melibatkan 1MDB, saya hanya boleh simpulkan wujudnya kekeliruan dan salah faham yang terbit daripada kenyataan-kenyataan tersebut.

2. Saya mulakan dulu dengan kenyataan Presiden PAS. Beliau nampaknya cuba menyamakan tindakan terbaru DOJ ini sebagai satu bentuk campurtangan asing dalam politik Malaysia. Secara tersirat, dia nampaknya cuba membawa mesej ini-kita semua sewajarnya berjiwa patriotik dan tidak sepatutnya membenarkan kuasa asing menguasai kita.

3. Dengan hormat, bagi saya kenyataan beliau itu seolah-olah menggambarkan beliau amat fasih dengan undang- undang Amerika. Ia juga memberi gambaran bahawa saman DOJ di bumi Amerika, menggunakan undang undang Amerika, masih dikira satu campurtangan kuasa asing, sekurang-kurangnya itulah pendapatnya yang agak sempit.

4. Bagi saya, kenyataan beliau itu, dengan hormat, menunjukkan satu kejahilan yang jelas. Ia juga menggambarkan kegagalan Presiden Pas untuk menguasai isu 1MDB. Dari mula lagi, kenyataan itu hakikatnya amat tidak perlu. Ia hanya mengukukuhkan kepercayaan ramai yang Pas agak terpisah dengan urusan semasa. Lebih malang lagi, ia ibarat menambah garam di atas luka. Kenyataan tersebut memburukkan lagi saki baki imej Pas yang masih tinggal seperti nyawa2 ikan.

5. Bagi menjawab kebimbangan beliau yang tidak berasas itu, saya dengan penuh hormat, menjemput beliau melihat kenyataan rasmi daripada pemangku Peguam Negara USA, Kenneth Blanco yang menyatakan "Kami tidak akan benarkan Amerika menjadi tempat atau lubuk di mana para individu yang korup berharap untuk menyembunyikan harta benda mereka dan berbelanja secara mewah dan boros wang yang sepatutnya digunakan untuk manfaat rakyat di negara tersebut"

6. Ada lagi kenyataan lain daripada sebahagian menteri yang gila mengampu. Antara lain, kenyataan itu berbunyi sebegini-1MDB dan MO1 tidak dinamakan sebagai defendan dalam saman DOJ. Ada juga yang kata tiada keterangan penyalahgunaan dana 1MDB, meskipun saman DOJ  masih di peringkat awal- belum sampai ke tahap perbicaraan di mana isu mengemukakan keterangan baru wajar dibangkitkan.

7. Baiklah, yang dahulu didahulukan. Ya, benar 1MDB dan MO1 tidak dinamakan sebagai defendan dalam saman DOJ. Reaksi awal saya "so what?" Adakah anda ingin katakan bahawa tiada sebarang liabiliti sewajarnya dikaitkan dengan kedua dua entiti ini kerana mereka tidak dijadikan sebagai defendan. Jika begitu halnya, kenapakah kedua dua entiti ini tidak mengarahkan peguam mereka untuk menentang saman DOJ tersebut?

8. Lagipun,  bukankah kandungan saman DOJ tersebut secara spesifik menamakan kedua dua entiti tersebut dan juga membangkitkan dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB oleh kedua dua entiti tersebut? Dalam keadaan begitu, sudah tentu mereka mempunyai kepentingan dalam saman DOJ tersebut.

9. Saya tak pasti sama ada mereka telah membaca keseluruhan tuntutan DOJ tersebut?Ini kerana, dengan membangkitkam isu ini, nampaknya mereka cuba menghantar mesej berikut- saman DOJ adalah remeh, oleh itu ia tidak sepatutnya dilayan oleh Kerajaan.

10. Saya telah meneliti undang undang Amerika yang relevan berkaitan isu ini.Amat menarik untuk dicatat di sini, di bawah undang undang Amerika, Kerajaan Amerika boleh, melalui DOJ, bukan sahaja mengambil tindakan ke atas individu yang didakwa menggubah wang haram, tapi ia juga boleh hanya menamakan harta yang ingin dirampas sebagai defendan. Di sini ( Malaysia ), kita tidak boleh menamakan harta yang ingin dirampas sebagai defendan.

11.Dalam keadaan begitu, bagi saya, segala alasan yang menyatakan DOJ tidak menamakan 1MDB dan MO1 sebagai defendan adalah alasan yang amat remeh. Alasan itu amat tidak relevan. Ia sengaja dibangkitkan bagi mengelirukan rakyat yang prihatin. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...