TERKINI :

Friday, June 2, 2017

Kedah akur arahan henti sementara projek Aman Laut

Projek Aman Laut Kedah

Kerajaan Kedah akur dengan arahan notis pemberhentian sementara projek pembangunan bercampur di atas tebus guna laut, 'Aman Laut' di Kuala Kedah yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Notis yang mula berkuat kuasa 15 Mei lepas itu melarang pemaju menjalankan sebarang kerja tanah atau pembinaan sehingga suatu tarikh penarikan balik yang akan dimaklumkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Datuk Leong Yong Kong berkata beliau sedia maklum tentang notis yang telah dikeluarkan oleh JAS itu.

"Notis berkenaan telah dikeluarkan susulan aduan daripada banyak pihak termasuk penduduk setempat yang bimbang dengan pembinaan berdekatan laut yang dilihat akan mengancam persekitaran kawasan laut.

"Selepas siasatan dilakukan, keputusan untuk memberhentikan projek tersebut telah dibuat. Kita tidak boleh pertikai dan perlu akur dengan arahan yang telah dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Leong berkata apa yang penting adalah untuk mencari langkah penyelesaian kepada permasalahan itu.

Pada 4 April lepas, hampir 100 penduduk dari Kampung Tepi Laut dan Kampung Tunku Laksamana mengadakan himpunan membantah projek penambakan laut bagi membangunkan pembangunan bercampur, Aman Laut.

Projek pembangunan bercampur itu dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada hasil laut berdekatan pinggir laut selain mengubah demografi kawasan sekitar yang dihuni lebih 250 keluarga nelayan.

Berdasarkan Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), projek berkeluasan 49.4 hektar itu merupakan projek tebus guna laut dan dijangka menjadi sebuah perbandaran baharu, yang menawarkan banglo mewah, kondominium dan pusat membeli-belah.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...