TERKINI :

Friday, June 2, 2017

Janji 30,000 peluang kerja hanya 'auta' kerajaan negeri Kedah

Mohd Ridzwan Arshad AhmadHarapan yang menggunung rakyat Kedah khususnya golongan muda untuk mendapat 30,000 peluang pekerjaan dengan kewujudan projek Zon Industri Petroleum Yan (Zipy), sehingga kini tidak menampakkan ia menjadi kenyataan, sebaliknya hanya sebagai angan-angan tidak kesampaian.

Kekesalan tersebut diluahkan oloeh Ketua Pemuda Amanah kawasan Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad.

Jelas beliau lagi, rakyat daerah ini khususnya dalam kawasan Parlimen Jerai amat mengharapkan projek yang telah dirasmikan pada tahun 2009 oleh kerajaan negeri ketika itu akan menjadi realiti setelah beberapa kali ianya tertunda dan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, sehingga kini walaupun telah diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih belum dapat menjadi kenyataan.

"Projek mega tersebut sepatutnya dilaksanakan oleh Sungai Limau Hidrocarbon Hub (Sulihh) setelah ia dirasmikan oleh kerajaan Pas pada tahun 2009.

"Kemudian projek tersebut telah bertukar nama sebagai projek Zon Industri Petroleum Yan (Zipy) pula.

"Malah Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail baru-baru ini turut menyatakan bahawa projek ini akan tetap diteruskan, " tegasnya lagi.

Menurut Ridzwan lagi, projek ini sepatutnya dilaksanakan dengan segera kerana ia mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dan penduduk negeri Kedah.

"Terlalu ramai golongan muda di Kedah yang masih lagi menghadapi masalah pengangguran akibat kurangnya peluang pekerjaan yang disediakan.

"Seandainya projek ini dapat disiap dengan segera, ia sememangnya akan memberi peluang kepada penduduk tempatan.

"Yang menjadi kemusykilan, setelah lapan tahun berlalu, projek ini masih lagi menjadi salah satu kegagalan kerajaan negeri Kedah hingga kini, " ujarnya lagi.

Adalah difahamkan projek ini mensasarkan keuntungan sebanyak RM400 juta setahun dalam bentuk cukai dan sepatutnya siap pada tahun 2014.

Walau bagaimana pun jaminan yang diberikan oleh exco kerajaan negeri bahawa projek ini akan diteruskan serta akan disiapkan menjelang 2019 agak mustahil.

Ia adalah ekoran pihak pelabur yang belum lagi memberi kepastian jangkamasa projek tersebut akan dimulakan.

"Rakyat Kedah tidak lagi mahu tertipu dengan pelbagai janji untuk melaksanakan projek-projek mega oleh kerajaan negeri.

"Oleh kerana itu pelbagai projek yang pernah dijanjikan untuk dibangunkan semasa pilihan raya umum ke 12 dan ke 13 yang lalu sepatutnya telah disempurnakan menjelang pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

"Kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji-janji mereka, membuktikan bahawa mereka bukanlah sebuah kerajaan yang mempunyai kemampuan untuk mengotakan janji kepada rakyat selain hanya pandai membuat janji, " tambah Ridzwan lagi.

Sehubungan itu katanya, rakyat negeri Kedah mesti berani bangkit dan membuat perubahan dengan menolak Umno dan BN serta mana-mana parti yang bersekongkol dengan parti pemerintah tersebut.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...