TERKINI :

Wednesday, June 7, 2017

Isa Samad menggali kuburnya sendiri?

 Isa Samad FGV
Tindakan Tan Sri Isa Samad menggantung Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Felda Global Venture (FGV) Ahmad Tifli Talha mesti dipandang serius.

Setelah setahun mengemudi FGV, beliau telah memulakan pelbagai langkah penambahbaikan dan pelan strategi bagi memulihkan konglomerat besar ini sejak penyenaraiannya. FGV kembali membuat keuntungan dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Lebih serius lagi kerana Zakaria telah mendedahkan bantahan beliau terhadap pelaburan ratusan juta yang 'tidak masuk akal' dan dalam pelaburan yang tidak 'core-business' FGV. Contohnya, rancangan untuk menambah RM551 juta dalam syarikat nano karbon yang bukan 'core-business' iaitu Felda Cambridge Nanosystems Ltd, setelah itu kerugian RM117 juta adalah tidak masuk akal dakwa beliau. FGV hanya punya simpanan tunai sebanyak RM1.8 bilion sementara menanggung ansuran hutang sebanyak RM4 bilion.

Ada sesuatu tidak kena

Keberanian serta ketegasan Zakaria yang mahukan SPRM bertindak menyiasat dakwaan salah-laku bayaran atau apa jua dakwaan yang lain (discrepancies) mengisyaratkan sesuatu yang tidak kena. Beliau merakam kekecewaannya dan menyifatkan bahawa beliau adalah 'mangsa keadaan' (victim of circumstances). Terkini beliau mencabar pihak Lembaga Pengarah FGV untuk membuat pilihan antara beliau dan pengerusinya.

Zakaria tidak pula menafikan kemungkinan wujud ketidakselarasan (discrepancies) dalam bayaran dan sebagainya, yang dikesani oleh audit dalaman. Pihak FGV telah pun melibatkan sebuah badan audit luar (PwC) yang mengesahkan kewujudan ketidakselarasan yang membabitkan 'berjuta ringgit'.

Zakaria yang agak enggan untuk meletakkan jawatan pada tahap awal, menyatakan bahawa beliau sendiri telah melaporkan kepada SPRM untuk menyiasat akan kes tersebut kerana urusniaga dengan anak syarikat Felda, Delima Oil Products (DOP) dan Safitex telah berjalan lebih awal dari pelantikan beliau lagi.

Jadi tanda tanya

Kini menjadi tanda tanya besar apakah motif di sebalik kesemua tindakan Isa Samad ini, yang tidak pernah setegas dan sepantas ini. Ada sesuatu yang belum dapat dibaca lagi oleh pihak penganalisis.

Dengan mulanya siasatan ini, maka apakah ini merupakan peluang untuk SPRM melanjutkan siasatan atas segala dakwa-dakwi tentang perolehan aset-aset mewah luar negara termasuk khasnya perihal pembelian 37% saham PT Eagle High Plantations di Indonesia dengan harga RM2.9bilion, hampir 3 kali ganda harga pasaran?

Pun begitu, yang jelasnya, tindakan Isa Samad ini seolah-olah akan berakhir dengan mendedahkan pelbagai dakwaan silap laku dan kepincangan pengurusan pelaburan FGV untuk sekian lama ini. Dengan kata lain, apakah langkah Isa Samad untuk menyingkir CEO yang kini menjadi 'penghalang dan pencabar'nya, tidak ubah seperti menggali kuburnya sendiri?

Dr Dzulkefly Ahmad ialah pengarah strategi Parti Amanah Negara

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...