TERKINI :

Saturday, June 24, 2017

Dengan apa yang dijanjikan SADA setakat ini pihak PH yakin pelan menanggani masalah air di Kedah.


ALOR SETAR - Pemimpin Pakatan Harapan yakin  persediaan dirancang oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) berjaya mengurangkan gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri kali ini.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, dalam satu sesi taklimat khas bersama Sada kelmarin, pihaknya sudah dijelaskan mengenai persediaan dilaksanakan oleh syarikat bekalan air itu.

"Menerusi sesi taklimat itu, kedua-dua pihak dapat berbincang dan bertukar pandangan yang secara terbuka mengenai masalah air yang dihadapi negeri ini.

"Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Ghani Zainuddin meyakinkan kami bahawa syarikatnya akan berlaku adil kepada semua dalam mengendalikan krisis air, di negeri ini," katanya pada sidang media di Pejabat DAP Kedah, di Pekan Simpang Kuala, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan Sada bahawa seramai 36 pegawai perhubungan yang berlesen sudah dilantik untuk bertugas di setiap kawasan Dun pembangkang.

"Kesemua pegawai yang dilantik akan membantu setiap wakil rakyat dalam menangani aduan air yang diterima oleh pemimpin Pakatan Harapan di kawasan pembangkang.

"Oleh itu, kita juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dilantik oleh kerajaan negeri," katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, buat masa ini terdapat 99 kawasan di seluruh Kedah yang mengalami kekurangan air di mana Sada selalu membekalkan air melalui penggunaan 55 lori yang menghantar 1.2 juta liter air sehari.

"Ia dijangkakan bahawa jumlah kawasan yang terjejas semasa raya akan meningkat kepada 257 kawasan di mana Sada menjangka akan menyediakan 127 lori air untuk membekalkan 2.7 juta liter air sehari.

"Sada juga memberi jaminan bahawa mereka akan menubuhkan pusat aduan setempat di kawasan-kawasan yang terjejas dalam usaha menangani isu ini," katanya.

Justeru, beliau berharap langkah-langkah yang komprehensif dirancang oleh pihak Sada berjaya dilaksanakan untuk mengurangkan masalah air pada musim perayaan kali ini.

"Saya turut memuji sikap keterbukaan Abdul Ghani yang bersetuju untuk berjumpa dengan wakil-wakil Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi Abdul Ghani berkata permintaan bekalan air setakat ini, masih dalam keadaan normal.

"Sada bersiap sedia untuk menerima pengguna yang pulang berhari raya. Sudah tentulah penggunaan air akan berlipat ganda.

"Sada akan usaha sedaya upaya elak agar isu tahun lalu berulang,"katanya.

Beliau berharap pengguna sentiasa bersabar dan memberi kerjasama kepada Sada untuk bersama-sama menghadapi musim perayaan kali ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...