TERKINI :

Tuesday, June 6, 2017

Agamawan Islam – Kristian iftar bersama, mengapa ahli politik bercakaran?

 Agamawan Islam - Kristian iftar bersama, mengapa ahli politik bercakaran?
MUFTI Wilayah Persekutuan dan wakil rasmi beberapa organisasi Islam menepis kekecohan yang dicetuskan beberapa kumpulan agama minggu lalu, dengan menyertai program berbuka puasa bersama pemimpin Kristian, malam tadi.

Mereka duduk bersebelahan dengan penganut Kristian, makan dan saling bertukar pendapat di sebuah hotel di Shah Alam.

Selepas berbuka puasa pada program anjuran Global Unity Network (Unity) dan Christians for Peace and Harmony in Malaysia, beberapa pemimpin kedua-dua pihak bergilir membangkitkan kepentingan keharmonian antara agama di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Islam juga menggalakkan idea menjemput bukan Islam, golongan miskin dan memerlukan untuk berbuka puasa bersama bagi memahami makna sebenar Ramadan.

“Bila saya makan bersama orang di sini, mereka ini orang Kristian. Kami tidak cuba mencetuskan isu yang akan menyebabkan ketidakharmonian agama.

“Kita patut melihat ke depan, membuang rasa kekok antara agama dan hidup bersama dalam harmoni,” katanya.

Di hujung ucapannya, Zulkifli berkata tidak sukar untuk rakyat Malaysia hidup bersama dalam negara majmuk ini jika masyarakat pelbagai kepercayaan mengetepikan perbezaan mereka dan fokus pada perkara baik daripada agama masing-masing.

Presiden Unity Shah Kirit Kakulal Govindji berkata majlis itu menunjukkan bagaimana kedua-dua agama boleh saling bertukar idea secara aman.

“Sepanjang acara ini, umat Islam dan Kristian dapat bersama berbincang mengenai perbezaan mereka dan saling berkenalan.

“Kami dapat melangkaui perpecahan agama menerusi mendapatkan maklumat tepat dan berkenalan antara satu sama lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengulas mengenai kekecohan baru-baru ini oleh kumpulan Islam di Pulau Pinang mengenai acara berbuka puasa, Shah Kirit berkata mereka patut lebih bertimbang rasa terhadap agama lain.

Timbalan Pengerusi CPHM Lee Min Choon bagaimanapun lebih diplomatik dan berkata adalah lebih baik isu itu diselesaikan sendiri oleh umat Islam.

“Ia perkara membabitkan pemahaman Islam. Saya tidak tahu banyak mengenai Islam, jadi saya tidak sesuai untuk bercakap mengenainya,” katanya.

Katanya, acara malam tadi membuktikan Kristian dan Islam boleh bekerjasama untuk hidup bersama dalam harmoni.

Shah Kirit juga memberi amaran kepada kumpulan Muslim yang prejudis terhadap agama lain dan mereka sepatutnya memastikan mempunyai maklumat tepat sebelum mengongsinya.

“Anda tidak boleh prejudis. Anda perlu adil bukan saja pada agama anda tetapi agama lain juga. Dan jangan terlalu cepat membuat kesimpulan,” katanya.

Menyentuh mengenai penganjuran “Jerusalem Jubilee” di Melaka, Shah Kirit berkata tajuk acara itu mungkin disalahertikan oleh umat Islam di Malaysia.

“Tajuknya itu memberi tanggapan mengenai pendudukan Yahudi di Palestin. Ia isu sensitif walaupun acara itu tidak ada kena mengena dengan perkara itu,” katanya.

Penganjur Jerusalem Jubilee bercadang untuk mengumumkan malam tadi yang mereka tidak akan menganjurkan acara itu di Gereja Calvary Life Assembly Chinese, susulan bantahan PAS dan Perkasa, NGO Melayu.

Penganjur All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) berkata program itu ialah acara bersembahyang untuk Kristian dari Malaysia dan Asia Pasifik, dan menolak tuduhan PAS yang matlamat program itu ialah menganjurkan “Kristian Zionist” dan “budaya Yahudi”.

Tetapi semalam, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau mengarahkan polis mengharamkan perhimpunan Jerusalem Jubilee kerana mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Acara buka puasa malam tadi turut dihadiri pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Interfaith Spiritual Fellowship Malaysia (Insaf), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committe of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN), Majlis Agama Islam Selangor dan Christian for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM).

Ini ialah program ketiga Unity, berbuka puasa bersama Kristian.

Unity ialah NGO Islam yang bertujuan mempromosikan perpaduan antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia. – TMI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...