TERKINI :

Sunday, May 28, 2017

SADA ohh SADA...masalah ayaq lagi...

Sambut bulan puasa tanpa air

Sambut bulan puasa tanpa air

YAN - Kira-kira 300 penduduk Kampung Seberang Jaya Satu, Yan runsing masalah bekalan air masih tidak selesai memandangkan umat Islam akan mula berpuasa.

Penduduk yang ditemui, Che Nen Don, 51 berkata, sudah empat hari air tidak ada dan ini menyusahkan mereka.

Menurutnya, sebelum ini bekalan air ada, cumanya kadang-kadang air yang dibekalkan agak perlahan.

Katanya, penduduk tiada masalah jika tekanan air rendah namun runsing jika bekalan terputus.

"Penduduk hanya mendapat bekalan air dari lori Syarikat Air Darul Aman (Sada) petang semalam sahaja.

“Lori hanya mai hantar air semalam sahaja, tiga hari sebelum ini kami memang langsung tak ada air,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Jaya Satu, Yan semalam.

Che Nen berkata, dia terpaksa pergi ke rumah ayahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya untuk mandi.

“Saya akan pi rumah ayah untuk mandi dan ambil bekalan air di sana untuk kerja-kerja membasuh.

“Paling susah adalah air untuk berwuduk. Saya terpaksa membeli air mineral untuk ambil air sembahyang,” katanya.

Che Nen yang mempunyai lima orang anak berkata, keadaan ini sangat sukar kerana dia mempunyai anak yang masih kecil.

Penduduk, Shabana Shafie, 45, berkata, keadaan ini telah menjejaskan rutin harian dirinya.

“Sebelum ini kami memasang pam elektrik untuk menarik air, tetapi air masih perlahan walaupun ada.

“Berbeza pada kali ini, air langsung tidak ada dan lori Sada pula hanya menghantar air dalam jumlah yang sedikit,” katanya.

Katanya lagi, rumahnya yang terletak di hujung kampung menyukarkan proses lori untuk menghantar air.

"Bila lori mai hantar air, rumah depan sahaja yang sempat mendapat bekalan. Kami yang berada di hujung kampung kadang-kadang tidak mendapat air.

Menurut Shabana, dia turut runsing memikirkan hendak menyambut bulan puasa.

“Macam mana nak memasak kalau air setitik pun tiada,” katanya.

Penduduk, Natrah Hasan, 60 berkata, dia merupakan ibu tunggal yang menjaga tiga orang cucu yang berusia 12 hingga 18 tahun.

“Pada hari Khamis lalu, cucu saya tak mandi ke sekolah.

“Nak buat macam mana, air tiada. Nak ponteng sayang pula sebab hari terakhir persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Mohd Noor Mahmud berkata, sebanyak 60 buah rumah terjejas dengan masalah ketiadaan air ini.

“Jangan kata penduduk kampung terjejas, peniaga kedai makan pun turut terjejas sehingga terpaksa menutup perniagaan mereka.

“Nak meniaga macam mana kalau air pun tiada,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...