TERKINI :

Tuesday, May 9, 2017

PKR wajibkan bakal calon PRU isytihar harta

nasution-pkr-isytihar-harta
PETALING JAYA: Calon yang dipilih PKR untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 nanti wajib mengisytiharkan harta masing-masing.

Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution berkata keadaan politik semasa sudah berubah kerana rakyat berhak memilih pemimpin yang bersih dan dilihat bersih dari sebarang salah laku.

“Itu ada dalam perbincangan kami. Itu antara pra syarat yang kami tetapkan. Sebabnya, keadaan kini sedikit berbeza, Barisan Nasional kerajaan memerintah manakala kami kerajaan yang menunggu,” katanya kepada FMT, hari ini.

PKR baru-baru ini mengundang perhatian media selepas kekayaan “luar biasa” ketua pemuda Ampang parti itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lupur April lepas atas 6 pertuduhan berkait keterangan palsu.

Sehingga kini, hanya Naib Presiden Rafizi Ramli konsisten mengisytiharkan harta setiap tahun.

Saifuddin berkata tuntutan semasa mewajibkan PKR melakukan tapisan yang lebih teliti dalam memilih calon bertanding.

“Perkara lain yang kami ambil kira, semakan bankrap, rekod bersih dari rasuah. Beberapa faktor lain seperti bankrap memang menjadi proses tapisan yang kita ambil kira,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin menyambut baik hasrat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang menyarankan parti politik tidak meletakkan calon terbabit kes rasuah pada PRU14.

Dzulkifli menegaskan parti politik perlu menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak bertolak ansur dengan rasuah.

“Syor nasihat itu adalah baik, dan dalam konteks dan pengalaman keadilan perkara itu menjadi keutamaan dalam proses memilih calon di DUN atau ahli Parlimen,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...