TERKINI :

Friday, May 12, 2017

PKR tidak pernah khianat prinsip tahaluf siasi, konsisten lawan kerajaan kleptokrasi – DS Wan Azizah

KEADILAN mengambil maklum keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

KEADILAN tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik.

KEADILAN mendukung secara prinsip usaha pemerkasaan mahkamah syariah seperti yang ditegaskan oleh kenyataan media Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 8 April 2017 yang juga merupakan pendirian rasmi KEADILAN.

Sementara KEADILAN berusaha secara muafakat dengan parti-parti politik untuk menawan Putrajaya, KEADILAN juga komited dan tuntas mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Matlamat dan tindakan KEADILAN dalam semua pilihanraya termasuk pilihanrya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah untuk menentang UMNO dan BN.

Perkembangan terbaru ini tidak sama sekali menjejaskan kerajaan negeri Selangor memandangkan kerajaan negeri hari ini mendapat mandat penuh rakyat negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk fokus membangun negeri dan memakmur rakyat.

KEADILAN mengulangi tekad untuk terus menentang budaya rasuah dan kleptokrasi kerajaan UMNO BN. Untuk mencapai matlamat murni ini semua parti politik progresif mesti bergabung tenaga dan bersatu untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengenepikan kepentingan parti masing-masing dan meletakkan agenda rakyat sebagai kerangka kepentingan bersama.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
12 Mei 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...