TERKINI :

Friday, May 12, 2017

Pemuda PKR ajak Pakatan Harapan lupakan Pas, tumpu untuk menang PRU14

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pemuda PKR menyeru semua parti pembangkang tumpu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu walaupun Pas bertegas mahu memutuskan hubungan dengan PKR semalam.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berkata walaupun Pas memberikan alasan yang “tidak sah” untuk memutuskan hubungan, usaha mereformasikan kerajaan perlu diteruskan.

“Kita tahu ada dalam kalangan pemimpin Pas yang mahu bekerjasama dengan kita.

“Di pihak kami, kita cuma perlu teruskan mandat sedia ada. Apa yang penting ialah dapatkan mandat baharu dari rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Terpulang kepada parti politik untuk membuat keputusan bagaimana mencipta suatu pakatan pilihan raya atau gabungan.

“Siapa kita untuk menghalang mereka apabila ia adalah hak Pas memilih jalannya sendiri?”

“Tetapi saya perlu katakan saya nampak alasan yang Pas berikan untuk memutuskan “tahaluf siyasi” sebagai ‘tidak sah’. Ini adalah keputusan Pas,” katanya kepada FMT.

Majlis Syura Ulama semalam mengumumkan “tahaluf siyasi” dengan PKR terbatal, selepas ia membuat keputusan ke atas usul untuk mengakhiri 2 dekad kerjasama Pas dengan parti reformasi. Usul diluluskan sebulat suara oleh perwakilan di muktamar Pas baru-baru ini.

Majlis mengulangi tuduhan oleh perwakilan Pemuda dan Ulama Pas, mengatakan PKR sudah melanggar syarat kerjasama politik dengan Pas.

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata para pengundi akan menjadi menghakimi perpecahan antara Pas-PKR.

“Bukan kami yang minta putus. Mereka yang mahu putus. Jadi, selamat tinggal. Akhirnya, orang akan menghakimi kerana orang sedang melihat isu punca pendapatan dan isu lain yang menjejaskan kehidupan harian mereka.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...