TERKINI :

Tuesday, May 9, 2017

PAS hanya parti politik, umat Islam tak perlu takut

 bukan-pas-parti-politik-gavel
PETALING JAYA: Seorang ahli G25 menasihatkan umat Islam yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya tidak takut menyuarakan pendirian mereka.

Susulan kenyataan 20 rakyat Malaysia Timur berhubung alasan perlu menolak RUU 355, ahli G25, Datuk Dr Johan Arriffin A Samad yang juga seorang daripada jurucakap bagi kumpulan rakyat Timur Malaysia itu berkata, umat Islam tiada sebab untuk takut kepada PAS.

“Orang selalu salah faham dan rasa PAS sebuah parti agama atau keliru dan fikir mereka adalah ulama.

“Mereka lupa PAS ialah sebuah parti politik yang terdiri daripada sekumpulan ahli politik. Sama seperti Umno dan parti politik lain, mereka hanya memancing undi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, salah satu sebab sesetengah umat Islam takut bersuara kerana mereka takut digelar anti-Islam atau kafir.

“Saya rasa kita perlu berhenti melabel orang yang tidak bersetuju dengan kita sebagai kafir, seperti cara PAS lakukan. Setiap orang ada pendapat sendiri dan kita perlu menghormatinya.

“Masalahnya orang tidak mahu hidup di sebuah negara Taliban, di mana segala-galanya adalah terhad.”

Bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah itu berkata, Islam lebih daripada sekadar hukuman.

“Ketakutan dan ancaman bukan perkara baik untuk Islam. Kita perlu ikut ajaran Islam sebenar, yang penuh belas kasihan.

“Membantu orang dan melakukan perkara baik juga penting (dalam Islam). Ia bukan hanya mengenai hukuman.”

Kumpulan 22 rakyat Sabah dan Sarawak itu terdiri daripada bekas atau masih menjadi ahli politik mewakili parti pemerintah serta pembangkang, bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan dan profesional.

Mereka berpendapat RUU 355 perlu ditolak kerana Malaysia adalah sebuah persekutuan sekular dengan kedaulatan undang-undang berasaskan warisan undang-undang biasa.

“Jangan kita lupa, kebebasan beragama ditekankan dan diberi jaminan dalam rundingan penggabungan Malaysia. Hukuman hudud tidak pernah berada dalam agenda.

“Jika hukuman hudud dimasukkan, projek Malaysia itu mungkin ditolak rakyat Sabah dan Sarawak.

“Semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan yang membentuk kontrak sosial ketika negara kita ditubuhkan – perlu dihormati dan dipertahankan,” menurut kenyataan itu.

Ia seterusnya menyebut sekularisme bermakna sistem undang-undang kebanyakannya perlu berdasarkan undang-undang umum yang digunakan untuk semua rakyat, manakala undang-undang agama atau adat boleh digunakan untuk perkara peribadi dan keluarga bagi ahli masyarakat tertentu.

“Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keadilan jenayah perlu dikendalikan mahkamah sivil, dengan membenarkan negeri (mencipta dan menghukum) kesalahan dilakukan orang beragama Islam yang bertentangan ajaran agama itu, kecuali berhubung perkara termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Hukuman 3-5-6 yang diperuntukkan Akta 355 – digubal pada 1965 dan dipinda pada 1984 – setimpal dengan skop kesalahan syariah dan sesuai dengan reka bentuk sekular Perlembagaan Persekutuan.

“Had baru yang dicadangkan RUU Hadi Awang – 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan (hukuman 30-100-100) – hampir menyerupai bidang kuasa jenayah Mahkamah Sesyen, semua hukuman yang dibenarkan undang-undang, kecuali hukuman mati.

“Apabila jenayah serius seperti rompakan hanya boleh dihukum di Mahkamah Sesyen dengan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, kesalahan apa yang dilakukan umat Islam harus dikenakan hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan?

“Di manakah prinsip perkadaran begitu penting kepada keadilan jenayah?”

Ia turut menyatakan ia satu “pembohongan terang-terangan” untuk mendakwa RUU 355 tiada kaitan dengan pengenalan hukuman hudud.

“Jika diluluskan dalam bentuk semasa, rang undang-undang itu akan membolehkan 3 hukuman hudud dalam undang-undang jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu – 100 sebatan kerana zina, 80 sebatan bagi tuduhan berzina atau liwat (qazaf) yang tidak berasas dan 40 hingga 80 sebatan bagi pengambilan alkohol.

“Disebabkan ketidakseimbangan kesalahan dan hukuman, pengenalan ketiga-tiga hukuman hudud kualitatif akan mengubah sifat sekular sistem undang-undang.

“Ia bukan sahaja tidak mengikut Perlembagaan, tetapi juga menghakis asas moral Malaysia sebagai sebuah persekutuan sekular.”

Kenyataan itu ditulis dalam 4 bahasa: bahasa Melayu, Inggeris, Kadazandusun dan Iban.

Selain Johan, antara yang turut menandatangani kenyataan itu ialah bekas naib pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun, bekas ketua Pemuda Umno Sabah Datuk Jema Khan dan Ketua PKR Sarawak Baru Bian.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...