TERKINI :

Thursday, May 11, 2017

Khalid Samad persoal rasional kos projek lebuh raya DASH telan RM190 juta setiap kilometer


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan rasional kos RM4.1 bilion yang bakal diperuntukkan bagi membina Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menurut beliau terlalu besar bagi jajaran sepanjang 21 kilometer (km).

Wakil rakyat itu berkata, jumlah itu menunjukkan RM190 juta akan dibelanjakan bagi setiap kilometer laluan yang menghubungkan Puncak Perdana dan Penchala itu, lapor FMT.

“Pembinaan lebuh raya ini memberikan kesan yang sangat baik seperti yang telah diperjelaskan kepada umum sebelum ini. Cuma kos itu agak tinggi.

“Dalam kiraan saya sendiri dengan jumlah RM4 bilion untuk jarak 21km, akan menjadikan hampir RM190 juta setiap kilometer.

“Mungkin kos itu ada penjelasan yang kita sendiri tidak tahu,” kata beliau kepada pemberita pada pertemuan sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Cahaya SPK Clubhouse, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Suria, Jamaludin Ismail berkata, “kami sebenarnya menyuarakan permasalahan kami jika projek ini dijalankan di mana ia melibatkan kawasan perumahan kami.”

“Dari segi strukturnya terdapat tiang yang termasuk di dalam kawasan sekarang ini. Keselamatan bukan sesuatu yang kita tengok pagar dah selamat atau tidak, kami nak tengok apa perancangan keselamatan dan pemantauan daripada pihak pemaju”.

DASH merupakan lebuh raya bertingkat 6 lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

Pembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna bagi mengelak kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke utara dan selatan tanah air.

Ia dijangka dibuka kepada pengguna Ogos 2020.

Bagaimanapun wujud kebimbangan penduduk sekitar Shah Alam, Damansara dan Petaling Jaya sekiranya projek berkenaan bakal memberi pelbagai kesan jangka panjang kepada mereka.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini memberi jaminan pandangan penduduk akan diambil kira termasuklah untuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

Sementara itu, syarikat pemaju projek, Prolintas memberi jaminan pembinaan jajaran Lebuhraya DASH akan mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Latib Rasol berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja pemantauan di tapak lokasi secara konsisten bagi memastikan aspek keselamatan penduduk terjamin.

“Isu keselamatan tentulah menjadi keutamaan kami di samping faktor kualiti udara, gegaran dan sebarang kesan jangka panjang pembangunan lebuhraya ini,” jelas beliau.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...