TERKINI :

Friday, May 5, 2017

KEPUTUSAN MEMBELAKANGKAN DEMOKRASI, PIMPINAN SPR LAKSANA STRATEGI UMNO

Kenyataan Media

05 Mei 2017

*KEPUTUSAN MEMBELAKANGKAN DEMOKRASI, PIMPINAN SPR LAKSANA STRATEGI UMNO*

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahunan kepada parti politik dan pihak-pihak berkepentingan dengan perjalanan pilihan raya adalah sangat mengejutkan dan tidak munasabah.

Perkara itu yang disahkan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh melalui laporan media baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan dikalangan rakyat apakah proses pilihan raya di Malaysia dapat dilakukan dengan 'bersih' dan 'adil' selepas ini.

1. Saya melihat keputusan dibuat SPR melalui mesyuarat kali ke-773 nya pada 28 Mac lalu itu sebagai tindakan tidak telus yang membelakangkan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

2. Saya tegaskan, salinan RDPT adalah penting kepada mana-mana parti politik. Ia digunakan sebagai sumber rujukan untuk proses semakan bakal pengundi agar dapat disahkan keabsahannya. Di dalam RDPT disenaraikan pengundi yang baru didaftarkan, pengundi yang baru berpindah masuk ke kawasan serta pengundi pindah keluar dan juga pemotongan nama pengundi. Contohnya diantara bulan Oktober sehingga Disember 2016 tahun lalu sahaja, terdapat kira-kira 1090 bakal pengundi baru telah didaftarkan di Parlimen Kuantan, tanpa senarai RDPT diberikan kepada parti politik bagaimana semakan dapat dijalankan dilapangan. Bagaimana mungkin dapat dikenalpasti mereka itu hantu atau benar-benar wujud atau mereka sebenarnya warga asing yang diberikan MyKad dan seterusnya punya hak mengundi?

Justeru, sebarang keputusan menghalang parti politik atau pihak yang mempunyai kepentingan mendapatkan salinan RDPT hanya akan menyukarkan dan menggagalkan proses semakan.

Saya khuatir akan membuka ruang untuk pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan di atas kelemahan itu bagi mendaftarkan pengundi-pengundi hantu di kawasan-kawasan tertentu. Semakan pihak kami di Kuantan keatas RDPT sebelum ini mendapati bahawa ramai pengundi di daftarkan tanpa pengetahuan mereka. Ini menyalahi dari segi undang-undang. Ada banyak juga kami dapati pengundi di pindahkan tempat mengundi tanpa pengetahuan mereka apabila mereka menukar alamat didalam MyKad mereka kerana berpindah rumah di dalam kawasan. Ini juga salah dari segi undang-undang. Malah ramai juga di daftarkan di daerah mengundi yang salah oleh SPR, tidak mengikut kedudukan sebenar rumah mereka di dalam peta kawasan pilihanraya. Kesemua semakan dilapangan ini mustahil dilakukan tanpa salinan senarai RDPT yang dibekalkan

3. Saya juga mempersoal kewajaran kenyataan dibuat Abdul Ghani bahawa pameran RDPT memadai bagi membolehkan mana-mana parti politik dan pihak berkepentingan membuat semakan, tuntutan dan bantahan juga mengejutkan.

Ia tentu akan menyebabkan proses semakan kepada ribuan nama pemohon menjadi semakin sukar dan tidak dapat dilakukan dengan secara terperinci.

Abdul Ghani perlu menjawab, bagaimana proses semakan hendak dilakukan dengan terperinci dan tepat di tempat-tempat pameran RDPT yang disediakan SPR?

4. Memandangkan banyak pendedahan berkaitan pelbagai kepincangan yang dikesan didalam senarai daftar pemilih didedahkan baru-baru ini, apakah keputusan menghentikan pengedaran senarai RDPT ini satu lagi helah politik. Apa rasional disebalik keputusan SPR ini?

Apakah ia satu usaha bagi menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan umum? atau taktik bagi membantu Umno BN untuk terus dapat mengekalkan kuasa mereka melalui Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang?

5. Sehubungan itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa rakyat di negara ini sangat mengharapkan satu proses pilihan raya yang bersih dan adil dapat dijalankan. SPR sepatutnya memperbaiki servis mereka kepada pihak yang berkepentingan. Ini tidak! Tindakan mereka berbentuk 'regressive'. Lebih parah lagi SPR ambil langkah berdiam diri dan tidak menjawab segala penyelewengan yang di dedahkan sebelum ini.

Tindakan-tindakan terdesak dilakukan SPR termasuk dengan menghentikan pengedaran senarai RDTP ini dapatlah disifatkan sebagai membunuh kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebebasan suruhanjaya itu menjalankan tugasnya.

Jesteru saya menasihatkan agar barisan kepimpinan SPR seharusnya merasa malu.  Keputusan tidak demokratik itu perlu ditarik balik.

YB Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Parti KEADILAN Rakyat

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...