TERKINI :

Sunday, May 28, 2017

Kedah catat peningkatan kes demam denggi

 Demam denggi
ALOR SETAR - Kedah mencatat peningkatan 88.3 peratus kes demam denggi atau 629 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 20 Mei lepas, berbanding 295 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata terdapat dua kes kematian akibat denggi berbanding satu kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya sembilan daerah didapati menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu Kuala Muda (261 kes berbanding 134 kes), Kulim (157 berbanding 51), Baling (63 berbanding 60) dan Kubang Pasu (41 berbanding 16).

Daerah lain ialah Kota Setar (31 berbanding 29), Sik (23 berbanding 5), Langkawi (20 berbanding 9), Padang Terap (11 berbanding 2) dan Bandar Baharu dengan 11 kes berbanding tujuh kes tahun lepas.

"Dua daerah yang menunjukkan penurunan kes ialah Pendang dengan tujuh kes berbanding 14 kes dan Yan dengan empat kes berbanding tujuh kes tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat 13 lokaliti wabak denggi yang masih aktif di daerah Kuala Muda iaitu di Taman Kempas, Taman Ria Jaya Zon 1, Kampung Huma, Taman Berangan, Taman Sri Pinang, Taman Keladi Zon A, Taman Arked, Taman Ria II, Kampung Pengkalan Lebai Man, Taman Ria Jaya Zon H, Taman Sri Tanjung, Taman Kelisa Ria dan Taman Arked.

Di daerah Kulim pula terdapat dua lokaliti wabak denggi aktif iaitu di Taman Kangkong 1 dan Taman Makmur, manakala satu lokaliti wabak dikesan di daerah Kubang Pasu yang masih dalam keadaan terkawal dan dijangka tamat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, dari 1 Januari hingga 20 Mei tahun ini, sebanyak 154 kes melibatkan penyakit Chikungunya yang melibatkan empat daerah telah dicatatkan iaitu di Kuala Muda (80 kes), Baling (72 kes) serta Kulim dan Kubang Pasu masing-masing dengan satu kes.

Dr Norhizan berkata dalam tempoh itu, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 207,069 premis dan mendapati terdapat 4,249 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Kami mengeluarkan 2,164 kompaun berjumlah RM1,082,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dan 385 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 236,733 premis di seluruh Kedah dan 45,176 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

"Keadaan cuaca tidak menentu boleh meningkatkan risiko penularan demam denggi dan Chikungunya, jadi masyarakat diminta supaya sentiasa memastikan kediaman mereka bebas daripada tempat pembiakan Aedes dengan memusnahkan tempat pembiakan aedes bagi mengatasi kes denggi di negeri ini," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...