TERKINI :

Thursday, May 18, 2017

JIKA TAKUT MUSUH ISLAM RAMPAS KUASA, INILAH MASANYA PAS DAN UMNO BERGABUNG SEGERA!!

Entah daripada sumber mana atau hanya sekadar mimpinya, Ketua Penerangan Pas, Nasaruddin Hassan yang baru-baru ini tewas untuk menjadi Naib Presiden, tiba-tiba memberi amaran bahawa musuh Islam sedang cuba untuk merampas kuasa.

Oleh itu, beliau berkata, umat Islam perlu berhenti bertelingkah sesama sendiri dan segera untuk bersatu.

"Musuh Islam telah bersatu biarpun berbeza ideologi dan parti untuk menguasai ekonomi dan politik negara.

"Mereka lupakan sempadan dan batas antara mereka untuk melampiaskan dendam dan merealisasikan kebencian terhadap Islam," tambah beliau dalam kenyataan yang diedarkan melalui WhatsApp.

Dalam mesej itu, Nasaruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut menggesa umat Islam agar mengetepikan perbezaan politik dan kepercayaan serta bersatu atas nama agama.

Apa yang beliau bimbang dan gusar sebenarnya?

Adakah beliau takut musuh Islam akan merampas kuasa atau lebih bimbang kiranya perkembangan mutakhir berkaitan partinya akan menyebabkan pemimpin-pemimpin Pas yang bertanding dalam pilihanraya atas tiket dan modal agama tidak lagi diterima dan seterusnya kalah di tangan pengundi yang semakin bijaksana?

Adakah kenyataan Nasaruddin ini mewakili rasa hati pemimpin-pemimpin Pas lain yang turut merasakan masa depan mereka semakin tidak menentu sejak mereka memilih untuk berbaik-baik dengan UMNO?

Apa pula caranya untuk melawan musuh Islam yang didakwanya telah bersatu dan dalam masa yang sama mungkin juga bermanfaat menyelamatkan kedudukan pemimpin-pemimpin Pas sebagai wakil rakyat?

Dalam hal ini, cara paling mudah dan berkesan tidak lain ialah dengan Pas dan UMNO segera bersatu atau bergabung menjadi satu.

Apabila dua parti terbesar di Malaysia, satu bermodalkan bangsa dan satu lagi bermodalkan agama bergabung menjadi satu, tidakkah ia akan melahirkan kekuatan yang luar biasa?

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin beberapa hari lalu sudah pun membayangkan kemungkinan wujud kerjasama antara Pas dan UMNO dalam pilihanraya akan datang ini.

Kata beliau, kerjasama itu boleh dijayakan dengan UMNO dan Pas mencapai kata sepakat untuk tidak bertanding antara satu sama lain di kerusi yang sama.

Kenyataan beliau kemudian disambut oleh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengatakan tidak menjadi kesalahan untuk UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama seperti itu.

"Kalau ia boleh memberi manfaat, apa salahnya?" tambah Ku Li.

Maka, jika benar musuh Islam yang ditakutinya, sambil dapat pula memungkinkan jawatan serta kedudukan diselamatkan, Nasarudin seharusnya menjadi orang pertama yang mendorong penyatuan Pas dengan UMNO ketika ini.

Tidak memadai untuk beliau sekadar mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan ketakutan semata-mata, tetapi masih tidak berani untuk bergabung dengan UMNO yang selalu mendabik dada sebagai juara pejuang bangsa sehingga rasuah dan penyonglapan pun selalu diselindungkan, asalkan perjuangan berkaitan bangsa tetap menjadi keutamaan. 

Apa lagi pilihan terbaik bagi Pas selain menyatukan diri dan bergabung terus dengan UMNO?

Najib juga pastinya paling gembira jika Pas setuju bergabung dengan UMNO dan dalam hatinya tentu bersyukur kerana di sebalik dirinya dikaitkan dengan pelbagai skandal kewangan yang diperkatakan di seluruh dunia, tak disangka-sangka rupanya sudi juga parti Islam untuk bersama.  (ShahbudinHusin 17/05/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...