TERKINI :

Tuesday, May 2, 2017

BN PERLIS yakin akan menang selesa PRU14 nanti

Barisan Nasional (BN) Perlis yakin akan memperoleh kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan mempertahankan ketiga-tiga kerusi parlimennya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata BN sentiasa memastikan jentera PRU bergerak secara teratur seperti yang dirancang untuk kekal memerintah Perlis.

Beliau berkata, jika PRU-13 yang lepas, pembangkang memenangi dua dari 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Indera Kayangan dan Sanglang, namun PRU-14 nanti BN akan merampas kembali kerusi itu.

"Untuk Parlimen Padang Besar, Arau dan Kangar, BN yakin kekal menang selesa tanpa sebarang laluan getir. Maklum balas yang diterima daripada banyak pihak juga menunjukkan keyakinan pengundi terhadap BN Perlis," katanya.

Beliau ditemui pemberita sebelum mengetuai Larian Bendera sempena Ulang Tahun Umno Ke-71.

Shahidan berkata, jentera Umno dan BN sentiasa turun ke peringkat akar umbi untuk menerangkan setiap isu berbangkit serta membantu permasalahan yang timbul dalam kalangan rakyat.

"Kempen BN tidak ada lobi melobi tetapi pemimpin parti perlu menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai seorang wakil rakyat selain memberikan perkhidmatan terbaik tanpa berbelah bagi " katanya.

Sementara itu, sesuatu yang menarik mengenai larian yang disertai lebih 500 orang itu disertai pelbagai kaum membabitkan rakan komponen Umno di dalam BN iaitu MCA dan MIC.

Larian adalah sejauh 42 kilometer dari Padang Besar ke Kodiang, Kedah.

- Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...