TERKINI :

Monday, May 15, 2017

Apabila NAJIB dilanda 'Ribut pembatalan kontrak'

A KADIR JASIN


NAMPAKNYA kita perlu sambung cerita mengenai Bandar Malaysia ekoran pembatalan kontrak IWH CREC Sdn Bhd sebagai pemaju utamanya pada 3 Mei lalu.

Macam saya ceritakan minggu lalu, TRX Sdn Bhd yang berupa anak syarikat Kementerian Kewangan batal perjanjian jual 60 peratus saham Bandar Malaysia kepada IWH CREC Sdn Bhd atas alasan syarikat usaha sama Malaysia-China itu gagal penuhi syarat walaupun dibagi kelonggaran. IWH CREC Sdn Bhd nafi dakwaan TRX itu.

Saya pun dah cerita yang IWH atau nama penuhnya Iskandar Waterfront Holdings Bhd adalah kumpulan syarikat pemaju hartanah yang dikuasai oleh tauke Cina Malaysia bernama Tan Sri Lim Kang Hoo manakala CREC atau China Railway Engineering Corporation adalah milik kerajaan China.

Selain bantahan IWH CREC Sd Bhd dan janji TRX untuk cari rakan kongsi baharu dengan cara yang lebih telus, beberapa perkembangan lain telah berlaku.

Antaranya ialah harga saham syarikat-syarikat yang dimiliki atau berkaitan dengan Lim telah jatuh merudum di Bursa Malaysia.

Selain IWH, Lim juga menguasai Ekovest Bhd, syarikat kejuruteraan yang satu masa dulu dimiliki oleh sekumpulan usahawan Melayu.

Saham kedua-dua syarikat itu jatuh pada kadar maksimum yang dibenarkan oleh Bursa Malaysia. Dalam bahasa pasaran ia dipanggil limit down. Apabila keadaan ini berlaku, kegiatan jual beli dihentikan sementara secara automatik.

Pada 4 Mei, saham Ekovest jatuh pada kadar maksimum kepada RM1.01 sesaham dan diikuti pada 8 Mei oleh IWH apabila harga saham jatuh hampir 30 peratus atau sebanyak 92 sen kepada RM2.16.

Saya kurang pasti banyak mana kerugian modal yang Lim dan pelabur lain tanggung akibat kejatuhan maksimum harga IWH dan Ekovest itu, tetapi mesti dalam lingkungan ratusan juta ringgit.

Kejadian ini mendukacitakan kerana kerugian modal yang dialami oleh IWH dan Ekovest bukan saja memberi kesan buruk kepada pelabur, tetapi juga mengurangkan lagi keyakinan terhadap ketelusan dan kewibawaan negara kita.

Atas alasan apa sekalipun, membatalkan perjanjian bernilai berbilion-bilion ringgit bukanlah sesuatu yang berlaku sepanjang masa. Sebaliknya ia hampir-hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita apatah lagi apabila ia melibatkan sebuah kerajaan asing.

Kontrak penjualan saham yang dibatalkan itu bernilai RM7.4 bilion dengan pendahuluan RM741 juta. Laporan mengatakan Kementerian Kewangan telah bagi balik deposit tersebut dan bayaran runcit berjumlah RM785.9 juta kepada IWH CREC Sdn Bhd.

Sekarang timbul pula cakap-cakap mengatakan projek itu akan diberikan kepada sebuah syarikat lain yang juga dari negara China bernama Dalian Wanda Group Co Ltd tetapi dengan nilai yang lebih tinggi.

Baguslah kalau nilainya naik, tapi wajib dipastikan yang ia tidak menjadikan kita terlalu bergantung dan terhutang budi kepada China.

Saya masih hairan macam mana kontrak yang diuar-uarkan sebagai penanda aras oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, itu boleh dibatalkan dengan begitu mudah setelah kerja-kerja pembangunan telah pun dimulakan.

Kajian saya mendapati Mohd Najib mencurahkan puji-pujian kepada IWH CREC kerana memenangi kontrak itu. Berucap pada majlis penandatanganan perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd pada 17 Jun lalu, beliau secara terbuka mengucapkan tahniah kepada CREC dan IWH.

Secara khusus Mohd Najib mengucapkan syabas kepada Lim dan wakil CREC, Chang Jin Li, kerana bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi mempercepatkan pembangunan Bandar Malaysia.

Pembatalan perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd bukan saja melibatkan pemegang saham IWH-Ekovest dan CREC, tetapi ia juga menjelaskan kepentingan kerajaan Johor.

Kerajaan Johor terlibat dengan perjanjian itu. Ini disahkan oleh Mohd Najib sendiri apabila beliau berkata kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Johor, secara langsung dan tidak langsung, memiliki 54 peratus saham dalam projek itu.

Tapi saya rasa penyertaan Johor dalam perjanjian yang dibatalkan itu adalah secara tidak langsung melalui IWH. Kerajaan Johor memegang saham IWH melalui anak syarikatnya, Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd.

Kesimpulannya, pembatalan perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd adalah satu tindakan luar biasa yang mempunyai implikasi besar di segi perniagaan, perhubungan luar dan kredibiliti kerajaan sebagai penandatangan.

Apa yang berlaku selepas ini, khususnya pemilihan pelabur baharu dari dalam dan luar negara, akan mengesahkan sama ada Bandar Malaysia adalah projek untuk kesejahteraan rakyat jelata atau satu lagi projek mencetak duit untuk tujuan pilihan raya dan mengisi kantung pihak-pihak tertentu. Wallahuaklam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...