TERKINI :

Monday, April 3, 2017

TMJ ulas isu kenapa Tan Cheng Hoe terpilih sebagai penolong Mario Gomez

KITA PERLU BERSATU DALAM SATU ARUS DEMI MEMULIHKAN IMEJ, KUALITI BOLA SEPAK TANAH AIR DAN BUKANNYA MENETAPKAN SERTA MELAYAN MENTALITI YANG FOKUS KEPADA ISU REMEH TEMEH

PAHANG VS JDT

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang berjaya memenangi perlawanan suku akhir pertama Piala FA tempohari. Kepada pasukan yang tewas, cuba lagi.

Berkenaan dengan kenyataan dari pihak FMLLP sebelum ini, saya telah mengarahkan pengarah FMLLP, Kevin Ramalingam untuk berjumpa dengan saya esok. Ia berkenaan dengan isu Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang tidak membenarkan penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) memasuki Stadium Darul Makmur pada perlawanan yang lepas. Bagi saya ia adalah isu yang kecil dan tidak perlu diambil apa-apa tindakan.

Pihak PBNP dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) perlu duduk semeja bersama-sama berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut antara mereka supaya ia tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Tetapi, nasihat saya kepada ahli-ahli gabungan dan pasukan bertanding sila ikuti 'Standard Operational Procedure' (SOP) yang telah ditetapkan oleh Persatun Bolasepak Malaysia (FAM) atau FMLLP untuk tidak melanggar undang-undang atau syarat hingga terpaksa didenda.

Jangan pula nanti bila dikenakan tindakan atau denda kepada pasukan dan kelab, penyokong akan menyalahkan FAM atau FMLLP. Jadi untuk isu tersebut, pada saya ia tidak perlu disiasat dan diambil tindakan. Cukup sahaja jika pihak PBNP, PBNJ dan FAM duduk semeja untuk selesaikan isu tersebut, dan pastikan isu tidak diingini seperti ini tidak terjadi lagi.

TAN CHENG HOE

Berkenaan isu yang ditimbulkan oleh laman sosial tidak rasmi yang gemar melaga-lagakan penyokong pula seperti berita mengenai jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe.

Untuk makluman semua, selepas saya melantik Mario Gomez sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, saya telah berikan kebebasan kepada beliau untuk memilih sesiapa sahaja yang beliau mahu bekerja bersama tetapi dengan syarat iaitu penolong jurulatih beliau mestilah jurulatih tempatan. Dan Mario sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe adalah yang terbaik baginya.

Tetapi ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak. Selain Tan Cheng Hoe, Mario juga memilih Raul Longhi, sekarang ini adalah penolong jurulatih JDT, jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara (Itali atau Argentina) dan koordinator pasukan kebangsaan daripada AFC. Jadi, ini bukanlah satu perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti mana yang telah diwar-warkan oleh laman tidak rasmi yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya.

Saya berharap penyokong pandai menilai sendiri siapa dan pihak yang mana yang selalu mewar-warkan isu kecil daripada pihak yang memainkan peranan dan memberi sumbangan serta berkongsi pendapat, berdepan untuk bersama membantu merubah landskap bola sepak tempatan. Bukan hanya tahu melaga-lagakan penyokong sahaja.

Saya akan pergi ke semua negeri untuk mesyuarat exco FAM dan sesi bersama penyokong. Kepada anda yang tidak berpuas hati boleh bertanya terus dan berkongsi pendapat dengan saya. Saya bukan individu yang suka bersembunyi dan tidak tahu apa-apa.

Saya suka bersemuka dengan individu-individu seperti ini dengan cara 'gentleman' dan bersikap telus bagi menyelesaikan terus masalah atau persoalan dari anda semua demi meningkatkan mutu bola sepak dalam negara dan pasukan kebangsaan.

Jika ada individu atau pihak yang suka memperbesarkan isu yang remeh temeh, melagakan orang daripada mencari jalan penyelesaian, itu terpulang kepada mereka. Mentaliti penyokong sekarang perlu diubah. Kita sepatutnya perlu bersatu dalam satu arus untuk memperbaiki imej bola sepak tanah air.

Saya tiada masa untuk melayan mentaliti seperti ini dan saya ada tugas lebih penting untuk dilakukan. Dan tugas tersebut adalah meningkatkan mutu bola sepak negara dan prestasi pasukan kebangsaan demi rakyat dan negara.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Presiden FAM

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...