TERKINI :

Tuesday, April 11, 2017

Seminar Pemikiran : Sibuk nak buktikan Nik Aziz berkrisis dengan Tun M ?

Dalam apa jua seminar yang sifatnya memperingati tokoh, apa  yang menjadi fokus teras adalah mencari kekuatan tokoh yang boleh di angkat untuk diteladani.

Demikian juga dengan “Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz”anjuran parti Amanah Negara di adakan di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur pada 9.4.17.   

Dalam menimbang kekuatan itu pula, sikap mengukur dan membandingkan persamaan kekuatan di pelbagai isu mengikut  tempat tegak antara Atgna dengan Tun M pada saya adalah satu sikap akademik yang cemerlang. Bahkan ia menampakkan sebuah kebijakan yang asyik.

Apa yang penting di sini adalah sikap kewarasan kedua-dua tokoh yang berkongsi sentimen menentang kezaliman. Ia dilihat cukup konsisten dalam satu tempoh yang panjang. Mereka synonymous.

Misalnya, “menolak Islam adalah kezaliman”. Ini sikap Atgna walau di mana. Ratusan kali almarhum mengulangi pendirian yang yakni “selagi Umno menolak Islam selagi itulah kita lawan”. Islam itu apa jika tidak antara lainnya, sebuah ugama yang amat membenci kemungkaran, komited makruf, menentang kezaliman dan menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam apa jua jelmaan dan rupa bentuk.

Pada masa sama, hal yang sedemikianpun turut menonjol dalam amalan dan setiap pandangan terkini Tun M lewat pelbagai isu menyentuh 1MDB, kebanjiran PATI, atau seputar penjualan strategik aset negara di Sg. Besi atau Forest City.  Membukti dan menemukan persamaan antara dua juring siku pemimpin ulung Malaysia yang tajam lalu mengacu sekepal tinju ke pentas terbuka bersemangatkan sistem demokrasi berparlimen. Apa masalahnya ?

Percubaan untuk membuktikan yang Atgna berada dalam krisis yang tak sudah sampai ke akhir hayat dengan Tun M bukan keutamaan Malaysia. Apa yang utama di sini ialah sikap komited kedua-dua tokoh.

Mereka istiqomah menentang pihak yang  zalim yang menaja kezaliman. Yang seorang, terbukti hingga sampai ke akhir hayat dan yang seorang lagi masih dengan konsisten sedang mengepalai sebuah gerakan sivil mahu menyelamatkan Malaysia dari terus ditenggelam. Sekali lagi; apa masalahnya?

Mana-mana pemimpin yang bergabung dan menyatukan diri dalam bahtera besar ini adalah wira-wira yang sedang mendapat perhatian oleh massa.

Bagai kisah Bahtera Nuh, mereka sedang memimpin sebuah armada besar. Dato’ Husam Musa adalah salah seorang di antara nakhoda muda yang prolifik selain dari Muhamad Sabu, Salehudin Ayub dan Zaid misalnya.

Mereka sedang gigih memindahkan api yang telah pernah sempat membara di dada Atgna via sebuah seminar yang telah berlangsung pada 9 April 2017. Apa masalah ?

Saya percaya, semua orang tidak mahu membuang masa dalam diskusi akademik yang tersasar dan tenggelam – sibuk perlu membuktikan yang Atgna sebetulnya berkrisis dengan Tun M  mengikut catatan tarikh sekian ke sekian itu dan ini . Jika mampu kita buktikan sekalipun, ia tidak akan mengubah scenario Malaysia yang kini sedang dilanda sebuah krisis kepimpinan terburuk dan perlukan surgeri segera untuk membuang buahnya yang buruk. Teori “bad apple’ ini jangan dipandang ringan. One bad apple spoils the whole barrel. Satu peti ia boleh merebak. Satu tong ia  membusuk.

Rata-rata rakyat kasihkan Malaysia. Amanah dan gabungan PH masih yakin bahawa di sana ada formula yang mampu menyelamatkan. Amanah sememangnya tidak ada lampu Alladin tetapi Amanah mempunyai saf kepimpinan yang bergeliga dan komited untuk melahirkan Malaysia semula dengan wajah progresif yang lebih baharu.

Jika Dato’ Husam dan rakan-rakannya mampu memindahkan sehelai panji bernama hikmah dan kebijaksanaan yang pernah berkibar di dada almarhum suatu waktu dahulu; menjadi sebuah gelora yang menyelamatkan bahtera Negara dengan amalan “good governance” menjelang PRU14 ini nanti, apa masalah ?

~ *Annual Bakri Haron*,
10 April 2017 ~

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...