TERKINI :

Thursday, April 20, 2017

Sanggupkah Pas putus tahaluf siyasi dengan PKR?

Pas PKR
SHAH ALAM - Muktamar Pas ke-63 pada hujung bulan ini, dilaporkan bakal menjadi penentu sama ada parti Islam itu akan menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR atau mengekalkannya berikutan usul yang diluluskan beberapa kawasan Pas di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu agar kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, isu tahaluf siyasi Pas-PKR akan menjadi topik perbincangan pada muktamar kali ini.

Persoalannya sanggupkah Pas berbuat demikian? Jika benar tahaluf siyasi Pas-PKR berakhir, ia dilihat boleh memberi kesan besar kepada kerjasama politik dalam pentadbiran kerajaan Selangor, yang diterajui PKR, berbanding dengan negeri-negeri lain.

Ini bakal meletakkan Pas dalam keadaan sangat canggung untuk terus berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika ia memutuskan hubungan dengan PKR.


Ada tiga anggota Exco kerajaan Selangor daripada Pas iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar); Zaidy Abdul Talib (Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri AsasTani) serta Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi).

Pada masa ini, Pas Selangor berpendirian untuk mengekalkan status quo dan akan akur terhadap apa jua keputusan pucuk pimpinan parti, jika Pas memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Hubungan antara Pas dan PKR tegang selepas parti pemerintah kerajaan negeri Selangor itu bertegas untuk mengekalkan kerjasama dengan DAP dan menjalin hubungan dengan Amanah, parti serpihan Pas.

Keadaan semakin meruncing apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR, menyindir Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang kalah dalam pemilihan Pas Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, 18 Mac lalu.

Kritikan Mohamed Azmin itu susulan kenyataan Nik Mohamad Abduh bahawa parti itu akan menawan Selangor pada PRU akan datang.

Penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali daripada Universiti Teknologi MARA Kampus Raub, Pahang menggambarkan hubungan Pas dan PKR di Selangor sebagai 'hubungan cinta-benci' disebabkan yang mengikat kedua-duanya adalah kuasa, atau lebih tepat lagi sebuah kerajaan negeri.

"Maka ada kalanya antara pemimpin mereka akan tersasar atau terlanjur memberi komen sama ada dalam bentuk sindiran atau kritikan kerana sememangnya itu adalah perasaan yang terpendam selama ini. Namun, mereka saling memerlukan dalam meneruskan penguasaan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor," katanya kepada Bernama.

​​​​​Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi itu berpendapat, walaupun ada usul pada muktamar bagi mendesak pucuk pimpinan parti memutuskan kerjasama politik dengan PKR, perkara itu tidak akan direalisasikan sebelum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor dibubarkan.

Katanya, pimpinan Pas dan PKR di Selangor setakat ini mempunyai persefahaman dalam mempertahankan kerajaan negeri dan pada masa sama masih mahu menjaga nama baik kerajaan negeri di mata rakyat Selangor.

"Kedudukan yang dimiliki oleh pemimpin Pas di Selangor adalah satu kelebihan untuk mereka meneruskan perjuangan parti dan pada masa sama menarik lebih ramai lagi penyokong melalui program berskala besar yang dianjurkan atas platform kerajaan negeri," jelasnya.

Sedemikian, kata beliau pemimpin Pas Selangor mengambil langkah mengelakkan konfrontasi dengan PKR kerana usaha dan gerak kerja selama ini terutama pasca pilihan raya umum (PRU) 2008 menunjukkan mereka saling memerlukan antara satu sama lain, ditambah dengan kedua-dua parti itu mempunyai bilangan kerusi Dun yang sama.

Dun Selangor mempunyai 56 kerusi iaitu DAP (14), PKR (13), Pas (13), BN (12), Amanah (dua ) dan Bebas (dua).

Bagi pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat, pengakhiran kerjasama politik antara Pas dan PKR bakal memberi kesan terhadap pentadbiran kerajaan Selangor.

Namun, ia tidak sampai ke tahap berlakunya pertukaran jawatan dalam kepimpinan berikutan sudah menghampiri penghujung penggal.

Sebaliknya, penganalisis politik itu berpendapat kesan sebenar penamatan kerjasama politik adalah pada PRU akan datang di mana ketika itu Pas 'akan menjadi rebutan'.

Apabila tiba masanya nanti Pas perlu menyatakan pendiriannya sama ada akan bertahaluf siyasi dengan BN atau Pakatan Harapan atau pun memutuskan untuk bergerak secara sendirian.

"Pas sekarang kiranya jadi anak emas yang menjadi rebutan dua pihak. Untuk pembentukan kerajaan persekutuan dan negeri Pas ada 'significant' tersendiri kerana di peringkat persekutuan Pas sasar 40 kerusi Parlimen pada PRU akan datang dan ini besar kesannya ke mana Pas akan berpihak.

"Peranan dan pengaruh Pas di Selangor juga besar dan tidak dapat dinafikan oleh PKR. Mohamed Azmin kalau dia nak kedudukan terus mantap dia mesti berbaik dengan Pas. Di sinilah... kalau Pas nak tunjuk kekuatan, dia putuskan hubungan (dengan PKR), (kesannya) ini akan ganggu pengaruh Mohamed Azmin di Selangor dan PKR sendiri," katanya.

Muktamar Pas akan diadakan di Alor Setar, Kedah dari 27 April hingga 1 Mei ini. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...