TERKINI :

Thursday, April 20, 2017

PM DIMINTA SEGERA UMUM SENARAI TUGAS-TUGAS KHAS HISHAMUDDIN KEPADA RAKYAT.

Kenyataan Media.

1. Pentadbiran Najib perlu untuk mengumumkan kepada rakyat apakah keperluan melantik sepupunya Datuk Seri Hishamuddin Tun Husein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas (MTTK) yang pastinya melibatkan dana awam.

2. PM juga perlu untuk melaporkan secara telus kepada rakyat tentang prestasi kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang secara rasminya bertanggungjawab penuh untuk membantu tugas-tugas yang diarahkan oleh PM pada bila-bila masa dan ketika. Adakah Zahid  Hamidi gagal mencapai KPI sebagai TPM?

3. Pengumuman Hishamuddin mengenai antara tugas-tugas khas beliau ialah untuk memantau isu keselamatan di Sabah adalah tidak munasabah dan melucukan. Adakah tidak cukup kedudukan sebagai Menteri Pertahanan bagi menjamin keselamatan di Sabah atau satu sindiran sinis terhadap Zahid Hamid sebagai Menteri Dalam Negeri yang tidak cekap menjalankan tugasnya?

4. Sekiranya beginilah cara PM Najib mengurustadbir negara ini, adalah sangat malang bagi rakyat negara ini memiliki PM yang sangat lemah kewibawaannya. Dengan kewujudan 8 Menteri di JPM, Najib masih memerlukan seorang lagi Menteri untuk menjalankan tugas-tugas khas? Ternyata ini adalah merupakan satu lagi pembaziran tenaga dan wang rakyat.

5. Adakah  kemungkinan tugas-tugas khas yang Najib pertanggungjawabkan itu adalah tugas-tugas "rahsia dan kotor" untuk membersihkan golongan tertentu dalam beberapa isu dan skandal mega seperti 1MDB, MO1, Felda, Tabung Haji dan lain-lain?

6. PM mesti menjelaskan segera kepada rakyat tentang isu tugas-tugas khas Hishamudin yang menjadi misteri sekarang ini. Rakyat menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam masalah yang sangat melucukan ini.

*#AmanahDemiNegara*

*SALAHUDDIN HAJI AYUB*
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
19 April 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...