TERKINI :

Thursday, April 6, 2017

Pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau 164

1. Pindaan di atas dijangka akan dibuat dalam persidangan parlimen kali in (March-April 2017). Banyak pihak telah melahirkan rasa bimbang dan ada pula yang menyatakan masanya telah tiba untuk dipinda.

2. Kontraversi pindaan akta 164 ini ialah berkenaan dengan status anak bawah umur apabila salah seorang pasangan memeluk Islam. Adapun pindaan terhadap seksyen 51 berkenaan perceraian dibuat bagi pasangan yang memeluk Islam di mahkamah sivil tidaklah sehangat isu status agama anak bawah umur.

3. Pindaan mencadangkan,status anak bawah umur kekal atas agama asal ketika perkahwinan pasangan jika tiada penyelesaian dari kedua ibu-bapa sehinggalah anak itu memilih agamanya setelah umur 18 tahun.

4. Dalam hal ini beberapa ketetapan reaksi balas telah dibuat sejak 2009 apabila Kabinet membuat keputusan status anak kekal agama asal jika tanpa penyelesaian.

5. Persidangan ke 19 Penyelarasan Sivil dan Syariah pada 27-29 April, menetapkan status agama anak hendaklah Islam,mengikuti mana-mana pasangan yang memeluk Islam. Begitu juga dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 25 Jun 2009 memutuskan status anak adalah di atas agama Islam mengikut mana-mana pasangan yang memeluk Islam. Mereka juga berpendapat artikel 12(4) tidak perlu dipinda.

6. Tidak syak lagi pindaan ini akan mengundang kontraversi menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum di negara ini. Apatah lagi kes-kes yang pernah berlaku lebih menampakkan kepentingan pasangan daripada membela kebajikan dan pembesaran anak yang terpaksa melalui dilema ini. Diburukkan lagi pihak luar yang mengambil isu ini sebagai semangat agama dan perkauman.

7. Saya berpendapat, kontraversi ini perlu dihadapi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap perkara yang lebih besar dari sentimen dan perasaan iaitu nilai Kerahmatan, Keadilan dan Karamatul Insan. Inilah prinsip Maqasid Syariah yang menentukan apa sahaja keputusan yang dibuat di Mahkamah.

8. Islam mendahulukan nilai Rahmah dalam mengelak sebarang persepsi unsur pemaksaan apatah lagi bagi anak yang belum dapat menentukan pilihannya. Nilai Keadilan pula hendaklah merentasi batasan agama dalam keadaan mana-mana pasangan yang tidak Islam perlu diberi haknya sebagai ibu atau ayah. Manakala nilai Karamatul Insan adalah syarat utama sepanjang proses pertikaian berlaku dari segi kasih sayang, kebajikan dan masadepan anak yang terpaksa membesar dalam situasi sebegini.

9. Oleh itu pandangan ulamak muktabar berbeza dalam memahami prinsip ini. Mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali menetapkan status anak berpandukan keislaman mana-mana pasangan. Pandangan Malik berbeza dengan menyatakan status agama anak berpandukan nasab (jalur keturunan) maka ia mengikut agama bapa. Jika ibunya memeluk Islam, anak kekal agama bapa yang bukan Islam. Imam Al Thawri berpendapat status agama atas pilihan anak setelah akil baligh.

10. Melusuri semua pandangan ini, pendirian status agama anak sebelum cukup umur terbuka kepada piawaian semasa atas kepentingan realiti masyarakat berbagai kaum di Malaysia yang unik.

11. Saya boleh bersetuju jika salah seorang pasangan yang memeluk Islam tidak menjejaskan kebajikan anak kerana tujuan utama Islam adalah menjaga institusi keluarga sebab itu adanya ikatan perkahwinan dan pertanggungjawaban. Mana-mana pasangan atas nama Islam sekalipun tidak memelihara hal ini pasti akan merosakkan nama baik Islam serta memberi tanggapan yang negatif terhadap kerahmatan Islam.

12. Pasangan yang berpisah kerana pengislaman salah seorang dari mereka wajib membezakan perasaan marah mereka antara satu sama lain dengan kebajikan anak yang menagih kasih sayang kedua-duanya. Itu lebih besar dan penting daripada tergesa-gesa menentukan status agama anak mereka. Hanya keutamaan ini dapat menentukan kejujuran masing-masing terhadap kasih mereka kepada anak-anak.

13. Status agama anak dalam pindaan akta 164 bukan soal menggadaikan aqidah ataupun menidakkan kepentingan Islam tetapi ia mesti diletakkan atas piawaian tujuan utama Syariat Islam didatangkan iaitu menjaga AGAMA.

14. Yang dimaksudkan menjaga AGAMA ialah pilihan agama tidak boleh dicemari dengan pemaksaan, menafikan kasih sayang dan memporak-perandakan kehidupan anak-anak yang tidak berdosa. Sesungguhnya syarat paling utama menerima Islam ialah sempurna akal kemudian barulah syarat lain menyusuri. Bagaimana seorang kanak-kanak yang cukup umur membuat pilihan jika semasa pembesarannya dicemari dengan kebencian dan hilang kasih sayang?

Saya akan berbahas apabila dibentangkan melalui penegasan hujahan kepada prinsip KERAHMATAN, KEADILAN dan KARAMATUL INSAN. Saya yakin jika asas ini menjadi keutamaan dalam proses menentukan status agama anak, ISLAM akan menjadi pilihan anak-anak sebaik sahaja mereka boleh membuat pilihan pada umur mumayyiz.

Sekian

Yb Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti AMANAH
5hb April 2017.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...