TERKINI :

Saturday, April 29, 2017

Pemuda Pas Selangor ancam akan guling Azmin, Rafizi jika terus sindir parti itu

ALOR SETAR: Pemuda Pas memberi amaran keras akan “menggulingkan” Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jika 2 pemimpin PKR itu terus menyindir dan menyerang parti itu.

Perwakilan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tanpa bantuan jentera Pas pada PRU lalu, Azmin dan Rafizi mungkin sukar memenangi kerusi Parlimen Gombak serta Pandan.

“Saya ingatkan Rafizi, kalau terus-menerus menyerang kita dalam keadaan kita tidak gentar dengan hujah beliau, kalau Rafizi anak jantan, tempatkan diri di Parlimen Pandan pada PRU akan datang, barisan Pemuda Islam (Pas) yang akan lumpuh semangatnya.

“Demikian juga kepada Menteri Besar (Azmin), beliau boleh gelar kita lebai, ingat kalau tanpa jentera (Pas) yang bantu, kerusi (Parlimen Gombak) Menteri Besar akan menjadi kerusi penggal terakhir buat Menteri Besar Selangor itu,” katanya ketika membahas ucaptama Ketua Pemudanya pada muktamar sayap itu di Kompleks Pas Kedah.

Beliau berkata demikian mengulas serangan Rafizi secara berterusan kepada Pas dengan mendakwa dana berkait 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengalir “kepada peguam tertentu” sebelum ia sampai kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa.

Azmin pula menerusi Twitternya menulis “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur” pada 21 Mac lalu, dipercayai sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz yang tewas dalam pemilihan kawasan Pengkalan Chepa untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan berkenaan.

Nik Abduh sebelum itu mengesahkan Pas mahu menawan Selangor, selepas video memaparkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyasarkan negeri itu selain Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perak.

Dalam pada itu, Sukri menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Majlis Syura Ulama untuk mengkaji hubungan dengan PKR.

“Pada kita atas tahaluf siyasi dengan keputusan Majlis Syura Ulama dengan syarak, maka wajib kita keluarkan tahaluf dengan syarak, Pemuda Pas Selangor mencadangkan agar memutuskan tahaluf dengan PKR.

“Kita yakin ada rakan PKR ikhlas nak perubahan dalam negara dan (ada juga yang hendak) musuh bersama Pas, maka kita ingin jemput rakan kita mari bersama kita dengan Gagasan Sejahtera untuk selamatkan Malaysia di bawah cengkaman yang zalim,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...