TERKINI :

Thursday, April 20, 2017

Nasrudin sah tanding jawatan Naib Presiden Pas

Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mengesahkan akan bertanding bagi posisi Naib Presiden Pas bagi Muktamar ke 63 akhir bulan ini.

Menurutnya, persetujuan untuk bertanding atas jawatan tersebut dibuat berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

"Tanpa menghilangkan rasa hormat dan jauh sekali melunturkan rasa kasih saya kepada semua rakan - rakan kepimpinan Pas yang lain serta meraikan pencalonan dari para perwakilan, saya dengan segala rendah diri menerima pencalonan Naib Presiden Pas bagi sesi 2017/2019.

"Justeru itu, saya sedar dan insaf bahawa pencalonan saya ke posisi Naib Presiden Pas adalah berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberi sementara saya percaya, bahawa saya bukanlah orang yang terbaik," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Naib Presiden Pas kini disandang Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Terdahulu, seorang lagi calon iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri daripada pencalonan jawatan tersebut.

Penerimaan Nasrudin itu menjadikan kerusi naib presiden adalah pertandingan tertinggi berlaku pada Muktamar Pas kali ini.

"Alhamdulillah, Pas semakin bertenaga dan padu ketumbukannya untuk terus mara ke medan juang mendepani cabaran semasa dalam menjulang panji perjuangan Islam.

"Semoga ALLAH melimpahkan rahmat dan berkatNYA ke atas perjuangan Islam yang didukung oleh Pas ini dengan terus menyatukan hati, menyuburkan ukhuwah dan memugar semangat para pejuangnya untuk memimpin gerakan perubahan serta kebangkitan rakyat," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...