TERKINI :

Monday, April 3, 2017

MPT Bersatu cadang debat Tun M-Nazri diteruskan di Bukit Aman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta membenarkan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz diteruskan pada 7 Julai ini, diadakan di Auditorium Bukit Aman.

Zahid Mat Arip, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menempelak tindakan polis membatalkan debat yang akan diadakan di Kompleks Karangkraf kononnya mendapat aduan penduduk setempat sedangkan Kompleks Karangkraf yang terletak di Seksyen 15 Shah Alam itu dikelilingi kilang-kilang.

"Saya membaca laporan yang menyebut ada pihak tertentu akan membuat kacau sekiranya debat itu berlansung di Karangkraf,

"Jika ada pihak tertentu buat kacau dan dikenal pasti tidak susah bagi polis menangkap mereka yang buat kacau.

"Saya nak minta karangkraf (pengurusan) mohon pada polis supaya debat ini diteruskan pada tarikh 7 April ini, buat di Auditorium Bukit Aman dalam kawasan ibu pejabat polis.

"Polis boleh kerah pegawai dari kaunter terrorism boleh kawal dengan senjata M16, pakaian gelap dan sebagainya.

"Saya yakin disitu tiada ancaman keselamatan," ujarnya dalam video yang dirakamkan dalam satu temubual dilakukan berdurasi 3 minit 10 saat itu.

Semalam Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, polis menerima 18 laporan daripada orang awam di Selangor yang membantah debat yang dijadual diadakan di Kompleks Karangkraf.

Permit debat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 April itu dibatalkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Zahid berkata, tindakan polis membatalkan debat itu sebagai usaha untuk membantu Nazri dan Umno-BN.

"Kalau takut katakan takut... memang Umno-BN ketakutan dengan Tun Mahathir.

"Polis pula berlebih-lebih saya tengok...lebih-lebih benar dalam hati dia (Nazri) tuhan saja yang tahu - polis bantu Nazri untuk batalkan debat atas alasan keselamatan.

"Saya tengok Umno takut dan memberikan alasan bodoh begini yang menambah kebencian rakyat kepada Umno-BN," ujarnya.

Menurut Zahid lagi, beliau yakin sekiranya debat antara Dr Mahathir dan Nazri ini diteruskan ia akan dapat menarik pelancong untuk menyaksikan debat ini.

"Saya yakin boleh menarik pelancong asing seluruh dunia untuk saksikan debat Tun M-Nazri. Ini boleh dapat pulangan yang baik kerana ini budaya baru dan sihat yang perlu dipromosikan," ujarnya sinis.

Pada Sabtu Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacob dipetik berkata pihaknya menerima surat pembatalan permit kebenaran debat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Pembatalan itu dibuat sehari selepas Hussamuddin mengumumkan pihaknya telah mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu.

Semalam turut memberi komen mengenai tindakan polis membatalkan debat ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mencadangkan debat antara Tun Dr Mahathir dan Nazri diadakan di hotel.

"Kalau tidak boleh (permit), buat program (debat) di hotel, selesai masalah," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...