TERKINI :

Wednesday, April 12, 2017

KEPADA MB KEDAH, BERLUNAKLAH MENDENGAR SUARA HATI RAKYAT

*MENTERI BESAR, BERLUNAKLAH MENDENGAR SUARA HATI RAKYAT*

'Kekecohan' yang didakwa berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selepas Sidang DUN ditangguhkan Isnin lalu, perlu dijelaskan supaya rakyat tidak terkeliru dan memahami perkara sebenar yang berlaku. Ternyata ada pihak yang sengaja memanipulasi isu tersebut demi tujuan politik.

Sebaik Sidang DUN ditangguhkan, saya dengan penuh hormat telah memaklumkan kepada YAB Menteri Besar (foto) kehadiran wakil penduduk Kuala Kedah dan Kampung Baru Padang Tembak, Bukit Pinang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan berkaitan permasalahan mereka. Menteri Besar memberitahu, beliau bersedia menghantar wakil untuk bertemu penduduk.

Sewaktu YAB Menteri Besar berjalan untuk keluar Dewan (bukan melalui pintu utama), Ahli Parlimen Pokok Sena YB Dato' Mahfuz Omar serta wakil penduduk telah memasuki DUN untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada beliau. Malang sekali Menteri Besar bertegas enggan menerima memorandum, tidak menghiraukan wakil penduduk yang mahu berjumpanya serta terus meluru keluar Dewan menuju pejabatnya. Tindakan kurang sopan pemimpin utama kerajaan Negeri tersebut telah mencetuskan rasa tidak senang wakil penduduk.

Isu tersebut diburukkan lagi apabila Menteri Besar mengeluarkan kenyataan media kononnya YB Dato' Mahfuz dan wakil penduduk telah "menyerbu beramai-ramai ke dalam Dewan" walhal Sidang DUN telahpun ditangguhkan.

Saya berpandangan apa salahnya YAB Menteri Besar, menerima dengan baik memorandum tuntutan dari rakyat tersebut dan berjanji akan menelitinya. Ia mengambil masa tidak sampai satu minit, namun imej beliau sebagai pemimpin menjadi cemerlang dan terpuji.

Sikap seorang pemimpin kerajaan Negeri yang tidak bersedia bersemuka dengan rakyat sangatlah tidak wajar. Apatah lagi isu berkenaan yang tidak mampu diredakan oleh pihak kerajaan Negeri telah mengakibatkan beberapa penduduk terpaksa ditahan polis.

Saya menasihatkan kerajaan Negeri Kedah, dengan kuasa yang ada, janganlah melayan rakyat sendiri seperti penjenayah. Berundinglah dengan mereka secara berhemah. Dengarilah suara hati mereka terlebih dahulu kerana tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Mohd Nasir bin Mustafa
ADUN Kubang Rotan.

12 April 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...