TERKINI :

Friday, April 28, 2017

Jangan jadikan pekerja asing teramai selepas Melayu menjelang 2040


Pekerja asing akan menjadi golongan kedua teramai di negara ini selepas Melayu/Bumiputera menjelang 2034.

Jumlah pekerja asing di negara ini telah melebihi bilangan rakyat Malaysia berbangsa India pada tahun lepas dan bakal menjadi golongan kedua terbesar selepas Melayu/Bumiputera menjelang 2040.

Sehubungan itu semua pihak perlu memberi fokus kepada usaha untuk mengurangkan lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing menjelang 2030 dan menyelesaikan isu-isu membabitkan pihak berkepentingan dengan pekerja asing, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Beliau memetik pengakuan Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chua Choon Hwa bahawa menjelang 2034 jumlah pekerja asing akan mencecah 7.5 juta orang dan menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Melayu/Bumiputera menjelang 2040.

Jumlah ini mengatasi rakyat Malaysia berbangsa Cina, India, Iban, Kadazan dan kumpulan Bumiputera lain sekaligus memberi gambaran hala tuju negara di bawah Umno/BN.

Lebih merumitkan, tambah Rafizi perbincangan mengenai reformasi tenaga kerja di negara ini akan menjadi 'caca merba' akibat pertembungan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam industri pekerja asing.

Ini kerana jelas beliau, proses membawa masuk, mengawalselia dan menguruskan pekerja asing telah menjadi industri besar bernilai berbilion ringgit membabitkan proses saringan kesihatan, kos permit, ejen-ejen dan pelbagai karenah birokrasi lain.

"Akibatnya sebarang keputusan untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing sudah tentu akan mengganggu periuk nasi golongan berkepentingan ini yang selalunya rapat dengan pimpinan Umno/BN," jelas beliau.

Naib Presiden PKR itu juga menyentuh penggunaan pekerja asing dalam beberapa industri yang tidak sepatutnya menggunakan khidmat pekerja asing hanya semata-mata bagi mewujudkan kos buruh yang rendah.

"Sebarang usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing akan mendapat bantahan kuat dari pelobi industri-industri ini," ujarnya.

Malah lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing, ujarnya menjadi salah satu punca utama pengangguran di kalangan rakyat Malaysia apabila tenaga kerja tempatan yang tidak berpendidikan tinggi dikira tidak sesuai untuk kerja-kerja yang tidak memerlukan kemahiran teknikal.

Beliau turut mempersoalkan keperluan restoran dan kedai menggaji pekerja asing sedangkan kerja-kerja tersebut boleh dibuat oleh pekerja tempatan.

"Apa perlunya kilang-kilang yang tidak memerlukan kemahiran teknikal dan khusus menggaji pekerja asing sedangkan kerja-kerja tersebut sepatutnya diisi oleh rakyat tempatan," tambah beliau.

Sehubungan itu, pihaknya sedang menyiapkan kertas dasar mengenai reformasi tenaga kerja yang akan memperincikan sasaran peratusan pekerja asing berbanding pekerja rakyat Malaysia menjelang 2030 serta langkah-langkah ke arah mencapai sasaran itu.

"Kertas dasar itu akan dibentangkan di dalam satu wacana dasar yang dianjurkan oleh I-CPI (INVOKE Centre for Policy Initiatives) pada 14 Mei 2017 bermula jam 1 petang di Hotel Empire, Subang," ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...