TERKINI :

Wednesday, April 5, 2017

BERSUNGGUHKAH UMNO BN INGIN MARTABAT DAN LAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM?

Kenyataan Media

05 April 2017

BERSUNGGUHKAH UMNO BN INGIN MARTABAT DAN LAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM?

Di Terengganu terdapat Enakmen Jenayah Hudud dan Qisas Terengganu 2002 yang telah dipinda, diwartakan dan telahpun diperkenankan untuk perlaksanaannya namun belum mampu dilaksanakan lagi sehingga kini.

Pada 27 Oktober 2016, RUU Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) dan pada 2 Mac 2017, RUU Keluarga Islam 2017 juga telah mengalami pindaan dan diwartakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. 

Ketiga-tiga enakmen setelah diluluskan oleh kerajaan Umno BN tidak menunjukkan ke arah perlaksanaannya. Ini menampakkan tiada kesungguhan untuk melaksanakan undang-undang di peringkat negeri. Adakah ia bertujuan politik semata-mata?

Persoalannya sekarang, undang-undang yang telah diluluskan tetapi tidak dilaksanakan akan mendatangkan tohmahan buruk. Menampakkan kerajaan negeri seperti tidak berhasrat untuk melaksanakan hukuman.

Jika betul caranya, mengapa sehingga kini kerajaan negeri Terengganu tidak memulakan persiapan rapi dengan menyediakan tempat untuk meletak pesalah-pesalah syariah yang dihukum penjara. Pesalah bagi hukuman ini tidak boleh diletakkan bersekali dengan pesalah bagi kesalahan sivil.

Tempat hukuman yang patuh syariah perlulah diaudit daripada segi kebersihan, air, tempat solat dan sebagainya. Mengapa kerajaan negeri Terengganu tidak pernah isytiharkan kepada umum mengenai penjara yang patuh syariah atau memenuhi tuntutan ini?

Perkara seumpama ini amat menyedihkan bagi saya, ianya seperti dipermainkan dengan percaturan politik yang amat panjang.

Inikan pula di peringkat kerajaan Pusat, RUU355 yang pada mulanya usul persendirian dibawa oleh Ahli Parlimen Marang dan kemudian kononnya akan diambil alih oleh pihak kerajaan Umno BN dan akhirnya menjadi seperti bola disepak ke sana ke mari.

Saya berasa amat ragu, sekiranya undang-undang persendirian hanya sekadar akan menjadi ucapan biasa dan tidak membawa kepada perlaksanaan undang-undang. Cukuplah hanya sekadar baca, bentang dan tangguh.

Hakikatnya RUU355 telah dipolitikkan. Umno BN seperti ingin melaga-lagakan rakyat dengan isu kaum dan agama. Rakyat kini sudah cerdik menilai, kerajaan yang bermasalah begini tidak boleh dibiarkan terus memerintah.

*YB Azan Ismail*
ADUN Bandar
Pengerusi KEADILAN Terengganu
Parti Keadilan Rakyat

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...