TERKINI :

Monday, April 10, 2017

Apabila speaker DUN KEDAH tolak usul DAP berkenaan "ISU TANAH RIZAB MELAYU"

SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH TOLAK USUL DAP.

26 MAC 2017 Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Derga dari DAP, YB Tan Kok Yew telah memasukkan suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26, Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri supaya Dewan membincangkan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengisytiharkan di dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahawa semua bank dan institusi kewangan yang ditubuhkan melalui undang-undang bertulis Malaysia sebagai "Melayu" bagi maksud Enakmen Tanah Rizab Melayu No. 63 Kedah.

Isu berkaitan tanah rizab melayu di Kedah ini adalah berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes Jamaluddin bin Jaafar lawan Affin Bank Berhad [2016] 1 LNS 1118 yang mana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Affin Bank Berhad bukanlah "melayu" bagi maksud Enakmen Tanah Rizab Melayu No. 63 Kedah. Justeru gadaian yang dibuat kepada Affin Bank Berhad adalah tidak sah.

Dalam memutuskan kes tersebut, Mahkamah Rayuan merujuk kepada Jadual 2 Enakmen Tanah Rizab Melayu seperti berikut :

"Back to the present appeal, the fact that Affin Bank is a non- Malay is beyond dispute as its name does not appear in the Second Schedule to the Kedah Enactment. There are presently only two banks listed in the Second Schedule, namely Bank Bumiputra Malaysia Bhd and Bank Pertanian Malaysia Bhd. Being not listed in the Second Schedule and therefore a non-Malay, Affin Bank is prohibited by section 6 of the Kedah Enactment from holding any right or interest, including as chargee, in the Malay reservation land that had been charged to it by the appellant. "

Ekoran keputusan kes tersebut, Kerajaan Negeri Kedah melalui Pengarah Tanah Dan Galian telah pada 16/11/2016 mengarahkan semua Pejabat Tanah Daerah di Kedah untuk menangguhkan pendaftaran semua urusan gadaian Tanah Rezab Melayu kepada institusi kewangan yang tak disenaraikan di dalam Enakmen. Ini menimbulkan kegelisahan pelbagai pihak termasuk pemaju perumahan, institusi kewangan, masyarakat dan juga pengamal undang-undang.

Setelah sebulan berlalu,  Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dalam mesyuaratnya pada 11 Januari 2017 telah mengisytiharkan antara lain bahawa Jadual 2 Enakmen Tanah Rizab Melayu No. 63 sebenarnya tidak wujud.

Amat pelik bagaimana Jadual 2 tersebut tidak wujud sedangkan peguam-peguam dan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan merujuk kepada Jadual tersebut dalam kes yang telah diputuskan.

Kemudian pada 12 Januari 2017 Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian mengeluarkan surat memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk mengisytiharkan institusi kewangan yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis di Malaysia sebagai Melayu di bawah Enakmen dan seterusnya membatalkan arahan pada November 2016.

Tindakan ini sebenarnya hanya gula-gula yang pada awalnya nampak sedap tetapi hakikatnya meletakkan ramai pihak di dalam risiko. Pihak pemaju perumahan mungkin lega kerana rumah-rumah boleh dijual. Pihak institusi kewangan mungkin juga lega kerana mereka boleh meneruskan transaksi melibatkan tanah. Masyarakat juga lega kerana boleh membeli dan membina rumah dengan mendapatkan pinjaman kewangan dari institusi kewangan. Para peguam juga boleh menyambut baik kerana semua urusan melibatkan tanah rizab melayu boleh kembali berjalan. Tetapi perlu diingat bahawa sehingga sekarang keputusan Mahkamah Rayuan masih sah kerana rayuannya masih belum diputuskan.

Tindakan Kerajaan Negeri pimpinan Umno/BN mengisytiharkan melalui Mesyuarat Exco tidak menyelesaikan masalah sebaliknya meletakkan risiko kepada banyak pihak dan memberikan contoh yang tidak baik kepada rakyat.

Bagaimana Kerajaan Negeri boleh isytiharkan begitu sahaja sedangkan keputusan Mahkamah Rayuan masih sah. Ini jelas melanggar keputusan Mahkamah. Adakah Kerajaan Negeri hendak menyatakan mereka boleh mengatasi keputusan mahkamah? Bagaimana transaksi gadaian boleh diteruskan jika ianya melanggar keputusan mahkamah?

Pihak-pihak lain seperti pemaju, institusi kewangan dan pembeli rumah berisiko segala transaksi menjadi tidak sah. Para peguam juga berisiko dalam menasihati pelanggan dalam transaksi yang boleh tidak sah. Ini amat berisiko dan Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab.

Semua ini hanya boleh diselesaikan di dalam Dewan Undangan Negeri. Kerajaan perlu jelaskan kedudukan isu ini di dalam Dewan. Kerajaan perlu meminda Enakmen jika mahu mengisytiharkan semua institusi kewangan sebagai melayu. Selagi Enakmen tidak dipinda selagi itu masalah ini berlanjutan dan meletakkan risiko kepada banyak pihak. Adakah Kerajaan Negeri bersedia meminda Enakmen dan jika ya, bila?

Kerajaan Negeri tidak boleh melepaskan tanggungjawab begitu saja dan meletakkan risiko ke atas banyak pihak.

Tindakan Speaker Dewan menolak usul ini dibincangkan di dalam Dewan amat tidak meunasabah dan jelas memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Umno tidak mengambil berat isu tanah rizab melayu.

ZULHAZMI SHARIFF
10 APRIL 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...