TERKINI :

Sunday, April 30, 2017

AMANAH oh AMANAH.. kenapa kau perlu wujud dalam politik negara..?

Pencerahan dari AMANAH.

1. Perjuangan Islam yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah bukan hak milik ekslusif mana-mana organisasi atau parti politik. Jadi, soalan samada Amanah mampu atau tidak adalah soalan yang subjektif. Semua pihak berupaya menyumbang ke arah perjuangan Islam, tetapi tidak ada satu pihak yang boleh mendabik dada bahawa perjuangan ini eksklusif milik mereka. Maka itu, kewujudan parti Amanah adalah untuk menyumbang ke arah penghayatan Islam di dalam aspek siyasah dan kenegaraan.

2. Hudud adalah sebahagian dari syariat Islam. Tetapi, ianya bukan satu-satunya syariat Islam. Syariat Islam meliputi banyak perkara yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Setiap satunya mempunyai keutamaan yang berbeza dan setiap satunya mempunyai perbahasan feqah yang luas dan bersifat multidimensi. Memahami syariah dari sudut yang simplistik tanpa memahami aspek fiqh dan maqasid hanya akan menjuruskan umat Islam kepada perangkap retorik dan dogmatik yang tidak berkesudahan.

3. Negara ini bukan milik mana-mana parti politik. Keputusan samada Hudud dilaksanakan atau tidak di negara kita bukan keputusan eksklusif mana-mana parti politik. Tidak Umno, tidak PAS, tidak Amanah, tidak DAP. Ianya mestilah keputusan yang diabsahkan sebagai keputusan rakyat secara kolektif. Maka itu, prosesnya mesti melibatkan semua pihak dari kalangan rakyat. Sesuatu undang-undang itu, sebaik manapun ia dan sesuci manapun ia, hanya akan menjadi undang-undang setelah ianya absah (legitimate). Amanah percaya Hudud hanya boleh dilaksanakan di negara ni sekiranya ia sudah menjadi undang-undang yang absah dan Amanah juga percaya proses mendapatkan keabsahan perlu melalui proses yang demokratik, broadbased, dan constitutional. Sebab itu Amanah percaya usaha memperolehi keabsahan tidak boleh dibina di atas sentimen permusuhan, kebencian, bigotry, dan polarisasi di kalangan rakyat. Cara yang dibawa oleh PAS bukan sahaja akan menyebabkan stigma yang buruk terhdap Hudud, malah agak menyebabkan ianya menjadi semakin jauh dari lama tertangguh dan dimusuhi rakyat.

4.  Tuduhan pimpinan Amanah sebagai takut dengan DAP adalah salah dan tersasar. Pihak yang takut ialah pihak yang pada mulanya mempunyai ruang berdialog, tetapi diatas ketidak upayaan mereka berdialog, mereka memilih untuk lari dan meminggir diri. Mereka lebih selesa membuat tindakan secara unilateral kerana tidak mampu berhujah dengan berkesan di meja dialog dan rundingan. Merekalah yang sebenarnya penakut. Pemimpin Amanah terus konsisten dengan pendekatan yang selama ini mereka terokai dan tidak pernah lari dari lapangan.

Wallahu a'lam.

-Jamzuri Ardani

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...